Tiga bot, 200kg ikan bernilai RM1.5 juta dirampas

Salah satu bot yang ditahan CPS Kampung Acheh Jabatan Perikanan Perak kerana melanggar syarat di lokasi berasingan sekitar perairan Pulau Jarak, di sini semalam. - Foto CPS Kampung Acheh
Salah satu bot yang ditahan CPS Kampung Acheh Jabatan Perikanan Perak kerana melanggar syarat di lokasi berasingan sekitar perairan Pulau Jarak, di sini semalam. - Foto CPS Kampung Acheh
A
A
A

LUMUT - Jabatan Perikanan Perak merampas tiga bot pukat tunda tempatan kelas C bersama 200 kilogram ikan di lokasi berasingan sekitar perairan Pulau Jarak di sini semalam kerana melanggar syarat perikanan.

Ketua Pangkalan Utama Cawangan Perlindungan Sumber (CPS) Kampung Acheh, Mansor Yobe berkata, nilai anggaran rampasan ialah RM1.5 juta.

Menurutnya, bot pertama ditahan di kedudukan 9.6 batu nautika dari Pulau Jarak pada jam 8.38 pagi dan menahan tiga nelayan warga Thailand.

"Bot kedua yang membawa empat warga Myanmar pula ditahan di 9.8 batu nautika kira-kira 20 minit kemudian.

"Kita juga menahan sebuah lagi bot pada jam 9.13 pagi bersama tiga kru warga Thailand di kedudukan 10.6 batu nautika dari perairan sama dan bot ini turut dikesan menggunakan kod zon tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.

"Kesemua bot yang berpangkalan di Hutan Melintang itu ditahan kerana menggunakan nelayan asing tanpa kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia," katanya kepada pemberita hari ini.

Menurut Mansor, mereka juga dikesan menggunakan saiz mata pukat kurang 38 milimeter (mm) dan menangkap ikan menggunakan pukat tunda kurang daripada 15 batu nautika.

Sementara itu, kesemua warga asing berusia antara 21 hingga 42 tahun yang ditahan itu dibawa ke Jeti Perikanan Kampung Acheh, Sitiawan untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985.

Artikel Berkaitan: