NAP 2020: Gabungan tiga elemen pacu sektor automotif

Dr Mahathir bercakap pada Sidang Media Majlis Pelancaran Dasar Automotif Nasional (NAP 2020) di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) hari ini yang turut dihadiri Darell (kiri) dan Dr Kian Ming (kanan).
 - Foto Bernama
Dr Mahathir bercakap pada Sidang Media Majlis Pelancaran Dasar Automotif Nasional (NAP 2020) di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) hari ini yang turut dihadiri Darell (kiri) dan Dr Kian Ming (kanan).
 - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dasar Automotif Nasional (NAP) 2020 menggabungkan tiga elemen teknologi canggih iaitu Kenderaan Generasi Seterusnya (NxGV), Mobiliti sebagai satu Perkhidmatan (MaaS) dan Revolusi Perindustrian 4.0 (Industri 4.0) dilancarkan hari ini.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, teknologi kenderaan adalah tumpuan pembangunan yang kritikal bagi pengeluar kereta di dunia pada hari ini bagi meningkatkan keselamatan kenderaan serta menjadikan mobiliti lebih pintar dan mesra alam sekitar.

Menurutnya, selain menyelaraskan dengan trend teknologi terkini, NAP 2020 juga menyasarkan untuk menambah baik dasar semasa, di samping memperkenalkan langkah-langkah baharu yang bakal menjadi dasar pembangunan perindustrian holistik yang menyediakan keperluan berbeza kepada pelbagai pemegang kepentingan dalam rantaian nilai.

Sehubungan itu, NAP 2020 telah menimbang semua kemungkinan elemen dalam bidang penyelidikan dan pembangunan, penyertaan syarikat domestik dalam rantaian bekalan tempatan dan global, aktiviti kejuruteraan, pembangunan kapasiti tenaga kerja tempatan, peningkatan eksport serta insentif pelaburan.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri menegaskan bahawa industri automotif dan sektor berkaitan telah menggunakan khidmat lebih 600,000 tenaga kerja dan menyumbang 4.0 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia.

Menurutnya, ketika ini terdapat lebih 20 kilang pembuatan dan pemasangan di negara ini yang mengeluarkan kenderaan penumpang dan perdagangan serta motorsikal dan skuter.

“Bagi segmen hiliran, terdapat kira-kira 53,000 syarikat selepas pasaran dan lebih 600 pengeluar bahagian-bahagian dan komponen automotif yang terdiri daripada panel kerangka, bahagian-bahagian trim, bahagian-bahagian powertrain, bahagian-bahagian getah dan bahagian-bahagian elektrik dan elektronik.

“Angka-angka ini tidak hanya mengagumkan, tetapi turut membuktikan bagaimana sebuah negara sedang membangun seperti Malaysia juga mampu menjadi pemain mantap dalam industri seperti ini sejak tiga dekad lepas," katanya dalam ucaptama pada pelancaran NAP 2020 di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ignatius Darell Leiking dan timbalannya, Dr Ong Kian Ming.

Perdana Menteri berkata, satu lagi ciri penting NAP 2020 adalah usaha berterusan ke arah pengeluaran mampan yang mana di peringkat global menyaksikan ekonomi kitaran sudah menjadi lumrah manakala kejayaan sesebuah industri turut diukur berdasarkan elemen seperti jejak karbon.

Menurutnya, industri automotif telah menempuh fasa sama seperti revolusi industri. Enjin yang bermula daripada sumber arang batu kepada yang dijana bahan api manakala kenderaan generasi seterusnya kini dipacu oleh hibrid, elektrik dan sel bahan api hidrogen.

"Usaha promosi dan penerapan teknologi hijau bagi Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) dan Kenderaan Generasi Seterusnya (NxGV) perlu disokong oleh ekosistem dan infrastruktur tepat bagi memastikannya kekal mampan dan menarik.

“Fasiliti bagi (pengurusan) bateri sel telah habis digunakan dan pengurusan serta rawatan sisa perlu diperhebatkan yang pada akhirnya dapat melengkapkan keseluruhan ekosistem, tidak hanya untuk industri automotif tetapi juga industri lain yang berkaitan," katanya.

Perdana Menteri turut menegaskan bahawa semua prasarana teknologi tinggi dan kemudahan ini pada dasarnya akan mengurangkan kos pengeluaran di samping melengkapkan kitaran pengeluaran mampan dalam industri automotif serta dalam keseluruhan sektor pembuatan di Malaysia.

Dalam masa sama, beliau juga gembira bahawa NAP 2020 akan mempunyai rancangan merealisasikan ini menerusi penetapan zon perindustrian khusus bagi amalan perniagaan ekonomi sirkular bagi industri automotif.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengimbau semula kenangan semasa kereta nasional pertama dilancarkan pada 1983.

Menurutnya, kereta nasional pertama itu bertujuan untuk menjadikan Malaysia sebagai kuasa pembuatan serantau, beralih daripada negara kaya dengan sumber yang bergantung besar kepada perdagangan antarabangsa komoditi pertanian dengan tumpuan kepada sektor pembuatan.

“Apabila kita memulakan industri ini lebih 35 tahun lalu, ramai yang skeptikal tentang aspirasi kita tetapi hari ini, Malaysia menjadi satu daripada pasaran paling kompetitif bagi industri automotif dan telah melalui pelbagai fasa pembangunan dengan mencapai banyak kejayaan,” katanya.

Kata Perdana Menteri lagi, sektor automotif adalah pilihan yang logik kerana ia dapat menyediakan limpahan ekonomi yang lebih besar dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat.

Menurutnya, dengan perindustrian, subsektor pembuatan berkaitan lain juga diwujudkan dan berkembang sejajar dengan peningkatan permintaan terhadap bahan mentah seperti getah, keluli, plastik dan petrokimia.

“Selain daripada itu, perindustrian membuka lebih banyak sektor berkaitan perkhidmatan dan menyediakan perniagaan hiliran bernilai tinggi serta peluang pekerjaan dalam bidang borong, perkhidmatan selepas jualan dan pemasaran,” katanya.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, industri automotif juga melangkaui daripada sekadar membabitkan aspek pengeluaran kereta, tetapi turut memacu pembangunan teknologi baharu yang akan melengkapi sektor industri lain.

"Teknologi kelengkapan dalam kereta misalnya menyediakan peluang besar bagi sektor industri berkaitan untuk menjana pencapaian baharu. Kaitan kedua-dua sektor huluan seperti keluli, plastik dan getah serta rantaian nilai hiliran turut membuktikan bahawa industri automotif adalah antara penyumbang utama serta strategik kepada pertumbuhan sektor pembuatan secara keseluruhannya," katanya.

Mengenai sokongan terhadap pendekatan teknologi hijau, Mahathir berkata, mulai 1 Januari 2020, biodisel minyak sawit telah dipertingkatkan daripada kategori B10 kepada B20 dalam sektor pengangkutan yang akan terus ditingkatkan kepada B30 sebelum 2025 atau lebih awal.

Menurutnya, bagi memudahkan pelaksanaan itu, NAP 2020 akan menyediakan langkah-langkah sokongan termasuk pembangunan standard bagi pengujian serta penyelidikan untuk menyokong peningkatan usaha pemprosesan biodiesel sawit tersebut.

"Kesemua penekanan yang digariskan oleh NAP 2020 adalah komitmen kerajaan kepada industri bahawa kita juga bergerak dalam hala tuju sama dengan negara-negara utama lain agar seiring dengan trend global, sama ada secara teknologi atau alam sekitar," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: NAP 2020 dijangka sumbang lebih RM100b KDNK negara menjelang 2030