Banjir di Sarawak terburuk dalam sejarah

KUCHING - Situasi banjir di Sarawak semakin memburuk dengan peningkatan jumlah mangsa yang dipindahkan ke 34 pusat pemindahan sementara (PPS) seramai 1,823 orang.
Difahamkan, situasi banjir yang melanda negeri itu adalah yang terburuk dalam sejarah susulan hujan berterusan di beberapa tempat termasuk Bintulu, Serian, Samarahan, Kuching, Miri dan Sibu.
Memetik laporan Utusan Sarawak, dalam kenyataan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sarawak, sebanyak 32 PPS dibuka bagi menempatkan mangsa yang terjejas akibat banjir dan dua lagi PPS dibuka masing-masing untuk mangsa kebakaran dan tanah runtuh.
Menurut kenyataan itu lagi, lima PPS dibuka di Bahagian Bintulu, Serian (15), Samarahan (empat), Kuching (tiga), Miri (empat) dan Sibu (dua).
Sementara itu, satu PPS di Miri iaitu di Pusat Bulan Sabit Merah turut dibuka untuk menempatkan mangsa tanah runtuh, manakala satu PPS di Dewan Datuk Aaron Bawan Kanowit dibuka bagi menempatkan mangsa kebakaran.

Data mangsa masih dalam proses untuk dikemas kini dan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Sementara itu, dalam perkongsian guru Matematik, Mohd Fadli Mohamed Salleh memaklumkan Bintulu dilanda banjir terburuk dalam sejarah akibat hujan lebat dan air pasang besar.
"Jaga keselamatan semua yang terlibat, yang mampu turun bantu, pakat turun bantu kawan-kawan kita kat sana.
"Semoga ALLAH ganti kesedihan dan kerugian kali ini dengan rezeki lebih besar di masa akan datang. Amin," tulisnya di Facebook rasmi beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!