Covid-19: Jabatan Perkhidmatan Veterinar pantau produk haiwan diimport

Covid-19
Covid-19
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) mengambil langkah waspada dengan menjalankan pemantauan terhadap produk haiwan yang diimport dan juga ternakan domestik bagi memastikan ia bebas daripada COVID-19, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam.

Beliau berkata pemeriksaan terhadap produk haiwan yang diimport seperti keratan daging ayam dijalankan dengan mengambil sampel untuk ujian makmal sebelum dibenarkan dibawa masuk ke dalam negara.

"Kita akan pantau produk-produk itu...setakat ini Alhamdulillah tiada sampel yang positif koronavirus yang menyebabkan penyakit ini (COVID-19). Setakat ini tiada juga pelaporan atau bukti di peringkat antarabangsa yang ada kait-mengait dengan haiwan domestik secara langsung khusus pada COVID-19.

Kita ada pejabat veterinar di seluruh daerah. Jadi kalau ada isu berkaitan kesihatan, sakit dan sebagainya ia akan dibawa ke klinik veterinar sama ada swasta ataupun kerajaan. Daripada situ kita akan tengok kalau ada kes-kes mungkin ada isu berkait (COVID-19),” katanya dalam temu bual bersama Bernama, baru-baru ini.

Beliau berkata tiada haiwan hidup yang dibawa masuk dari China ke Malaysia setakat ini, justeru risiko COVID-19 menerusi haiwan di negara ini adalah rendah.

Dr Quaza Nizamuddin berkata setakat ini masih tiada bukti jelas berhubung penularan virus dan transmisi COVID-19 membabitkan haiwan ternakan.

Jabatan itu juga tidak menerima aduan atau laporan berhubung haiwan ternakan tempatan yang diancam COVID-19 sejak berlakunya penularan wabak penyakit itu.

"Tiada pelaporan tak bermakna ‘for sure’ (tidak akan berlaku)...siasatan masih diteruskan,” katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan untuk haiwan dijangkiti virus berkenaan, beliau berkata semua hidupan jenis mamalia terdedah kepada risiko mudah dijangkiti penyakit.

Artikel Berkaitan:

"Semua mamalia, selagi ia mamalia, berisiko...macam kelawar ia sejenis mamalia,” katanya.

COVID-19 pertama kali dikesan di Wuhan, Wilayah Hubei di China pada Disember 2019, sejak itu ia telah menular ke lebih 20 negara.

Berdasarkan statistik Kementerian Kesihatan pagi ini, kes positif COVID-19 di Malaysia masih kekal 22 melibatkan 15 warga China, enam rakyat tempatan dan seorang warganegara Amerika Syarikat.

Tujuh belas daripada mereka telah sembuh dan dibenarkan pulang dengan lima lagi masih berada di hospital.