Bersediakah Malaysia guna CRS?

CRS diwajibkan dalam kenderaan bagi penggunaan semua kanak-kanak bawah ketinggian 135 sentimeter (cm), bagi memastikan keselamatan mereka jika terbabit kemalangan.
CRS diwajibkan dalam kenderaan bagi penggunaan semua kanak-kanak bawah ketinggian 135 sentimeter (cm), bagi memastikan keselamatan mereka jika terbabit kemalangan.
A
A
A

Buat sahaja carian di Google dengan menaip perkataan ‘maut tercampak keluar kereta’, anda pasti akan sedar kes ini bukan biasa-biasa di negara kita!

Data yang disebut oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bahawa sebanyak 1,559 kematian dicatatkan membabitkan kanak-kanak di bawah umur 10 tahun dari tahun 2007 hingga 2017, tidak wajar dipandang enteng.

Walaupun bukan semua kes itu menyebabkan mangsa tercampak keluar kenderaan, namun ternyata angka kehilangan nyawa kanak-kanak akibat kemalangan di negara kita cukup membimbangkan.

Penulis sendiri tidak dapat membayangkan jika tragedi seperti itu menimpa anak sendiri. Sungguh ajal itu ketentuan takdir, namun jika ia berlaku kerana kecuaian diri sendiri, tentu ia akan menjadi kekesalan seumur hidup.

Akhir tahun lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook ketika bercakap pada sidang media tentang penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) atau Child Restraint System berkata, hanya satu pertiga atau kira-kira 36 peratus pengguna jalan raya di negara ini menggunakannya sebagai langkah keselamatan bagi melindungi nyawa si kecil.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan terpaksa mengambil langkah penguatkuasaan bagi penggunaan CRS untuk memastikan tahap keselamatan kanak-kanak terus menjadi keutamaan.

Penulis masih ingat, ketika pengumuman itu dibuat, meneliti komen-komen netizen di media sosial, cukup ramai yang membantah dan mengeluarkan hujah sampai keluar daripada konteks berita yang disampaikan. Punyalah marah masyarakat kita!

Ada yang kata ‘inilah cara kerajaan nak ambil duit rakyat’ malah tidak kurang yang menyifatkan keputusan diambil kerajaan tanpa memikirkan ekonomi rakyat dengan kebanyakan model kereta dipandu tidak cukup selesa untuk memuatkan kerusi keselamatan.

Artikel Berkaitan:

Kelewatan

Tidak cukup dengan itu, diparodikan pula dan macam-macam lagi. Sampai ada karikatur mak terpaksa berpaut di bumbung kereta sebab kereta dah penuh dengan kerusi keselamatan. Kreatif betul rakyat kita dalam bab ini!

Sekali lihat, memang lucu dan bila diperhalusi nampak macam ada benarnya pula. Kalau anak lima tapi cuma pakai Honda City, mana pula nak diletakkan CRS ini?

Bagaimanapun, sebagai rakyat yang waras, kita juga harus memahami keputusan kerajaan berkait CRS itu bukan dibuat secara semberono.

CRS diwajibkan dalam kenderaan bagi penggunaan semua kanak-kanak bawah ketinggian 135 sentimeter (cm), bagi memastikan keselamatan mereka jika terbabit kemalangan.

Minggu lalu apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun tercampak keluar dari kenderaan dalam kejadian di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, ramai yang meluahkan rasa syukur insiden itu tidak berakhir dengan kematian.

Rata-rata netizen memuji tindakan pantas pemandu kereta dan lori yang segera memberhentikan kenderaan menyelamatkan nyawa kanak-kanak itu.

Kes itu mendapat perhatian Menteri Pengangkutan yang meminta semua pihak tidak lagi mempersoalkan keperluan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak.

Beliau berharap kejadian tersebut menjadi pengajaran kepada semua mengenai kepentingan kerusi keselamatan.

Walaupun penggunaan kerusi keselamatan bukanlah penentu atau penyelamat nyawa namun penggunaannya pasti dapat mengurangkan risiko kecederaan lebih serius jika kemalangan berlaku.

Harus diingat juga, CRS digunakan juga mestilah menepati spesifikasi ditetapkan!

Namun sejauh mana Malaysia sudah bersedia mengimplementasikan CRS itu secara menyeluruh Jun ini. Pada hemat penulis, harus ada persefahaman yang jelas di antara pihak kerajaan, penguat kuasa dan paling penting jangan pinggirkan pengguna jalan raya!

Banyak faktor dan timbang tara perlu dilakukan kerana bab CRS bukan hanya melibatkan soal keselamatan dan undang-undang namun ia juga membabitkan poket rakyat!

*Salmiah Druhamad Drahsin ialah Web Master portal Sinar Harian