Operasi Hospital Medan di Cox's Bazar dilanjut sehingga 2021

Affendi bersama peserta Op Starlight-5 pada Majlis Perasmian Op Starlight-5 di Wisma Perwira ATM Kuala Lumpur hari ini.
Affendi bersama peserta Op Starlight-5 pada Majlis Perasmian Op Starlight-5 di Wisma Perwira ATM Kuala Lumpur hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengoperasian Hospital Medan Malaysia di Cox's Bazar, Bangladesh akan dilanjutkan sehingga Disember 2021, kata Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Beliau berkata, perkara berkenaan telah dipersetujui kerajaan kerana hospital itu telah mendapat pengiktirafan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai Hospital Medan Tahap 3 terbaik, terlengkap dan paling dipercayai di Cox’s Bazar.

"Selain itu, hospital berkenaan telah menjadi hospital rujukan di daerah berkenaan semenjak pengoperasiannya.

"Sehingga kini, Hospital Medan Malaysia telah merawat lebih 97,000 pesakit dan melaksanakan lebih 3,520 pembedahan yang telah menyelamatkan ribuan nyawa rakyat di negara berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan penghantaran Tim Op Starlight 5 di Wisma Perwira ATM di sini.

Sementara itu, Komander Tim Op Starlight 5, Kolonel Dr Mohamed Zaki Mohamed Mokhtar yang akan berangkat ke Cox’s Bazar pada malam ini berkata, pasukannya terdiri daripada 56 petugas bakal mengambil alih tugas dari Tim Op Starlight 4 yang telah melaksanakan penugasan selama enam bulan.

"Tim Op Starlight 5 terdiri daripada lapan pakar perubatan, tujuh pegawai perubatan dan 41 staf perubatan dan sokongan yang sedia berkhidmat di sana.

"Selain itu, tim ini akan dilaksanakan dalam dua peringkat iaitu melibatkan kumpulan pertama berangkat pada hari ini manakala kumpulan kedua akan berlepas pada 28 Februari ini," katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Artikel Berkaitan:

Ditanya mengenai penularan Covid-19 ketika bertugas di Cox's Bazar, beliau berkata, pihaknya telah membuat pemantauan di negara itu dan mendapati ia tidak mempunyai masalah serius di Bangladesh, namun langkah-langkah pencegahan akan diambil pada tahap yang tertinggi.

"Sebagai contoh, perjalanan kami dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada malam ini, saya akan memastikan kesemua petugas kesihatan memakai topeng muka dan setiap daripada mereka mempunyai pembersih tangan ketika bertugas di lapangan Cox's Bazar.

"Kami tahu di sana (Cox's Bazar) banyak penyakit berjangkit dan kami telah mengambil langkah pencegahan sejak penularan Covid-19," katanya.

Terdahulu, turut berlangsung majlis serah terima tugas Panglima Angkatan Bersama ke-12 Leftenan Jeneral Datuk Suhaimi Mohd Zuki dengan Panglima Angkatan Bersama ke- 13 Lt Jen Datuk Yazid Arshad yang disaksikan oleh Affendi.

Turut hadir pada majlis itu, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany dan Panglima Tentera Udara Jeneral Datuk Seri Ackbal Abdul Samad. - Bernama