MPSJ lapor polis dua individu menyamar penguat kuasa kesihatan

Azfarizal
Azfarizal
A
A
A

SUBANG JAYA - Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) membuat laporan polis berhubung kes dua individu menyamar sebagai penguat kuasa kesihatan dan meminta wang suapan sebanyak RM500 bagi mendapatkan penggredan (Gred A) penarafan premis makanan.

Timbalan Pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik, Azfarizal Abdul Rashid berkata, dalam kejadian itu, pihaknya menerima aduan berhubung kes terbabit yang didakwa berlaku di kawasan komersial SS15, sebelum ke premis tersebut Selasa lalu bagi meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Bagaimanapun katanya, pemerhatian pihaknya mendapati individu dalam rakaman terbabit bukan kakitangan MPSJ sebagaimana didakwa, malah sijil penarafan Gred A yang digunakan dalam modus operandi tersebut juga palsu.

“Laporan polis telah dibuat oleh pihak MPSJ dan pemilik premis.

"Siasatan lanjut berhubung kes terbabit masih dijalankan pihak polis,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Azfarizal menjelaskan, pemeriksaan dan penggredan oleh Pegawai Kesihatan MPSJ ke atas premis makanan adalah percuma dan tidak melibatkan sebarang transaksi di lapangan kecuali dilakukan di kaunter perkhidmatan ibu pejabat atau pejabat cawangan MPSJ.

“Transaksi yang dibenarkan di lapangan hanyalah dengan menggunakan kad kredit atau debit yang diterima melalui mesin MPOS MPSJ,” katanya.

Sehubungan itu katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes berkenaan diminta tampil untuk memberikan keterangan kepada pihak polis bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, mereka yang melakukan kesalahan menyamar sebagai penjawat awam boleh dipenjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya bagi kesalahan tersebut mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan (Akta 574) jika sabit kesalahan.

“Untuk sebarang penyaluran maklumat atau aduan berkenaan perkhidmatan MPSJ, orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Setempat (Call Center) MPSJ di talian 03-8024 7700 atau emel ke mpsj@mpsj.gov.my,” katanya.