JPN kaji mekanisme terbaik pendaftaran anak tak sah taraf

Ruslin (kanan) beramah mesra bersama ahli keluarga Che Nor Ariffin,60, yang menerima sijil kelahiran dan kad pengenalan di rumahnya di Kubang Kerian hari ini.
Ruslin (kanan) beramah mesra bersama ahli keluarga Che Nor Ariffin,60, yang menerima sijil kelahiran dan kad pengenalan di rumahnya di Kubang Kerian hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sedang melihat dan meneliti beberapa perkara untuk memilih mekanisme terbaik bagi menyelesaikan masalah berkaitan pendaftaran anak tidak sah taraf di seluruh negeri.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh berkata, pihaknya sedang mengadakan perbincangan bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN), Pejabat Peguam Negara dan juga pejabat agama negeri-negeri.

Menurutnya, setakat ini terdapat dua pilihan untuk anak tidak saf taraf sama ada dibinkan Abdullah mahupun menggunakan nama Asmaul Husna.

“Kita dalam proses perbincangan mengkaji dasar sedia ada untuk melihat mekanisme lebih sesuai bagi proses pendaftaran anak tidak sah taraf.

“Setiap negeri mempunyai enakmen berbeza dan salah satu tindakan kita ialah berbincang dengan pejabat agama negeri untuk mencari jalan penyelesaian untuk diselarikan dengan peraturan agama negeri masing-masing,” katanya di sini.

Terdahulu beliau menyerahkan kad pengenalan dan sijil kelahiran kepada lapan bersaudara di Kubang Kerian yang turut dihadiri Pengarah JPN Kelantan, Asrehan Ab Razak di sini hari ini.

Baru-baru ini Mahkamah Persekutuan sebulat suara mengarahkan ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negara mengeluarkan perkataan 'bin Abdullah' daripada sijil lahir seorang kanak-kanak Islam dari Johor yang tidak sah taraf kerana dilahirkan kurang dari enam bulan dua saat daripada tarikh akad nikah.

ARTIKEL BERKAITAN: Mahkamah putuskan anak tak sah taraf tak boleh 'di bin atau binti nama bapa'

Bagaimanapun empat daripada tujuh hakim yang bersidang iaitu Rohana Yusof, Azahar Mohamad Zawawi Salleh dan Idrus Harun berpandangan kanak-kanak lelaki itu tidak boleh menggunakan nama bapa kandung.

Artikel Berkaitan:

Hakim Abang Iskandar Abang Hashim, David Wong Dak Wah dan Nallini Pathmanathan pula berpandangan kanak-kanak itu boleh menggunakan nama bapa kandung.

Hakim juga berbeza pandangan mengenai tiga persoalan undang-undang yang dikemukakan kepada mereka.

Mengulas lanjut, Ruslin berkata, pihaknya menghormati ketetapan mahkamah dan berdasarkan perbincangan bersama KDN serta pejabat agama di setiap negeri pihaknya akan mengeluarkan arahan baharu dalam masa terdekat.

Katanya, disebabkan itu juga semua perkara berkaitan dengan pendaftaran anak tidak sah taraf akan diselaraskan dengan baik supaya ia tidak menimbulkan perkara berbangkit.

“Kita juga dari segi dasar dan peraturan di JPN akan melihat dan dikaji. Kemungkinan kita akan melihat beberapa penambahbaikan dan peraturan baharu yang perlu dikeluarkan dalam masa terdekat inilah,” katanya.

Untuk rekod, seramai 25,567 anak tidak sah taraf yang didaftarkan di JPN sejak tahun 2019 sehingga Januari tahun ini.