Saingan lima penjuru rebut jawatan Ketua Bersatu Bahagian Port Dickson

No Image Caption
A
A
A

PORT DICKSON - Pemilihan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Port Dickson yang bakal diadakan pada Sabtu ini dilihat sengit apabila menyaksikan perlawanan lima penjuru.

Mereka adalah, penyandang Ketua Bersatu Bahagian Port Dickson Penaja, Mohd Hanapi Mohd Zain, Penyelaras Dewan Undangan negeri (DUN) Bagan Pinang, Mohd Ibrahim Khan ; Dato Mohammad Zin Mustapa; Sheikh Junaidy Jamaludin; dan Ramli Awang.

Mohd Ibrahim Khan yang juga merupakan Ahli Bersatu Cawangan Teluk Kemang berkata, hasrat untuk bertanding bagi merebut jawatan Ketua Bahagian ini adalah kehendak akar umbi.

Menurutnya, beliau yang aktif dalam masyarakat terutamanya di DUN Bagan Pinang merasakan penglibatan secara berterusan dalam parti dilihat sangat penting dalam membantu membangunkan masyarakat di Port Dickson.

"Saya merasakan perjuangan untuk membangunkan anak bangsa perlu dilaksanakan secara berterusan, demi memartabatkan agama, bangsa dan ekonomi anak Melayu.

"Sebagai penyelaras DUN, saya berpendapat banyak kerja-kerja kebajikan dan pembaikan perlu dilakukan terutamanya dalam membantu menyelesaikan isu setempat yang berbangkit," katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Ibrahim Khan
Mohd Ibrahim Khan

Pada pemilihan kali ini, seramai 2,800 ahli Bersatu Bahagian Port Dickson daripada 12 cawangan layak mengundi membuat pemilihan bagi Ketua Bahagian mereka.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Mohd Ibrahim Khan memberitahu, pemilihan kali ini agak sengit memandangkan penyandang Ketua Bahagian turut bertanding untuk mengekalkan jawatan.

Bagaimanapun katanya, itu adalah pertandingan sihat memandangkan kesemua pesaing tersebut adalah dalam kalangan ahli parti yang bertungkus-lumus dalam Bersatu sebelum ini.

"Tiada masalah berapa ramai yang nak bertanding, itu adalah hak mereka, kita mengamalkan sistem demokrasi sesiapa sahaja boleh bertanding.

"Apa yang penting, kepada yang menang nanti, diharap dapat memberi sumbangan, jasa dan teruskan perjuangan dalam memartabatkan bangsa Melayu dari semua aspek demi kepentingan bersama," katanya.