Usaha singkirkan ahli politik beragama Islam di Texas gagal

Dr Shahid Shafi kekal sebagai naib pengerusi Parti Republikan bagi Tarrant County.
Dr Shahid Shafi kekal sebagai naib pengerusi Parti Republikan bagi Tarrant County.
A
A
A

AUSTIN - AMERIKA SYARIKAT. Kempen untuk menyingkirkan Dr Shahid Shafi daripada jawatan naib pengerusi Parti Republikan bagi Tarrant County menemui kegagalan besar.

Sebelum ini, kempen untuk menyingkirkan pakar bedah trauma di Forth Worth itu digerakkan oleh Dorrie O'Brien yang menyifatkan Shafi tidak sesuai mewakili parti tersebut kerana mempraktikkan Islam.

Menurut wanita tersebut, bukan semua anggota Republikan di Tarrant County beranggapan bahawa Islam itu selamat dan boleh diterima di negara berkenaan.

Malah, O'Brien menuduh Shafi lebih cenderung setia kepada Islam berbanding AS.

Keputusan undian kelmarin menyaksikan ia berpihak kepada Shafi dengan 139 undi, manakala 49 undi menentangnya.

Bagi Shafi, kempen untuk menyingkirkan beliau sejak beberapa bulan lalu telah memberi tamparan hebat kepada diri dan keluarganya.

Bagaimanapun, Shafi tidak menyimpan dendam terhadap anggota Republikan yang gagal menyingkirkannya kerana ia adalah sebahagian daripada proses demokrasi.

"Sebagai imigran, saya berbangga dan berbesar hati kerana mendapat sokongan dalam kalangan anggota Republikan.

Artikel Berkaitan:

"Kita seharusnya perlu belajar untuk mempercayai antara satu sama lain agar kita mampu membina kesatuan yang sempurna," katanya.

Shafi berhijrah ke Amerika Syarikat (AS) dari Pakistan pada tahun 1990 sebelum mendapat kerakyatan pada 2009.

Beliau dilantik ke jawatan itu tahun lepas dan merupakan ahli Majlis Bandaraya Southlake. - Agensi