Tambahan 300,000 unit dekoder percuma untuk B40, OKU

Gobind menyerahkan dekoder myFreeview kepada penerima OKU, Francis Xavier di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi dan Multimedia hari ini. - Foto Bernama
Gobind menyerahkan dekoder myFreeview kepada penerima OKU, Francis Xavier di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi dan Multimedia hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan menyediakan 300,000 unit dekoder digital myFreeview yang akan diberikan secara percuma kepada kumpulan isi rumah B40 dan golongan orang kurang upaya (OKU) di seluruh negara, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Gobind Singh Deo.

Katanya, 300,000 unit dekoder tersebut adalah tambahan kepada dua juta unit yang telah diperuntukkan sebelum ini dan kos RM30 juta bagi penambahan dekoder percuma itu ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.

"Kami menyedari masih terdapat permintaan rakyat untuk mendapatkan dekoder percuma ini. Sebagai kerajaan prihatin, kami memberi pertimbangan sewajarnya kepada permintaan ini," katanya berucap pada Majlis Penyerahan Dekoder myFreeview kepada isi rumah B40 dan OKU di sini hari ini.

Majlis berlangsung di Kompleks Komunikasi dan Multimedia Malaysia Sabah itu turut dihadiri Ketua Pegawai Digital Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, Gerard Lim Kim Meng dan Ketua Pegawai Eksekutif MYTV Broadcasting Sdn Bhd (MYTV), Mazlan Mahdi.

Program penyerahan itu akan berlangsung mulai hari ini hingga Sabtu dengan kira-kira 3,000 dekoder percuma myFreeview akan diagihkan kepada isi rumah B40 dan OKU berdaftar.

Gobind berkata, kerajaan sentiasa mengiktiraf keperluan rakyat, terutama dalam kalangan B40 dan OKU dalam meniti arus perkembangan digital, sekali gus komited merealisasikan konsep Kemakmuran Bersama menerusi inisiatif itu.

“Ini bagi merapatkan lagi jurang digital selain usaha menaik taraf kehidupan golongan kurang bernasib baik di seluruh negara, sekali gus memastikan mereka tidak ketinggalan dalam mengakses informasi secara mudah, memandangkan siaran televisyen (TV) digital itu ditawarkan secara percuma, tanpa yuran bulanan,” katanya.

Dalam pada itu Gobind berkata, peralihan Malaysia daripada siaran TV analog kepada siaran TV digital memberi satu anjakan serta peluang, kepada pengamal industri penyiaran dalam usaha mencorak dan mengukir wajah baru dunia penyiaran tanah air.

Artikel Berkaitan:

"Saya menyeru agar penerbit tempatan mengambil peluang untuk menyediakan pelbagai kandungan TV kepada platform TV digital ini," katanya.

Sementara itu, Gobind dalam sidang media berkata, sebanyak 1.81 juta daripada dua juta dekoder percuma telah diagihkan kepada golongan sasaran di seluruh negara.

Katanya, di Sabah lebih 170,000 daripada 228,767 dekoder percuma yang diperuntukkan telah diagihkan kepada rakyat yang layak di negeri itu. - Bernama