Pekerja kilang amang seksual budak 8 tahun ditahan

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

KLANG - Seorang pekerja kilang ditahan selepas dipercayai melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak berusia 8 tahun di Flat Kelompok Camar Bandar Sultan Sulaiman di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 2 petang ketika mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas membeli minuman di kedai berhampiran.

"Tiba-tiba datang seorang lelaki menghampiri mangsa dan bertindak menutup mulut mangsa.

"Mangsa turut diugut dengan senjata pisau supaya tidak menjerit sebelum suspek dipercayai melakukan amang seksual terhadapnya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa bagaimanapun berjaya melarikan diri dengan menggigit tangan dan menendang kaki lelaki terbabit.

Katanya, suspek kemudian berjaya ditahan penduduk sebelum diserahkan kepada pihak polis.

"Suspek lelaki tempatan berusia 21 tahun kini direman lima hari untuk siasatan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak," katanya.

Katanya, polis turut meminta mangsa lain yang terlibat untuk membantu siasatan polis dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Azirah Abd Aziz di talian 03-32902222.

Artikel Berkaitan: