Tabung Haji untung RM1.3 bilion susulan pelan penstrukturan

Ibu Pejabat Lembaga Tabung Haji (TH)
Ibu Pejabat Lembaga Tabung Haji (TH)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lembaga Tabung Haji (TH) berjaya mencatat impak pemulihan apabila meraih keuntungan sebanyak RM1.3 bilion bagi tempoh sembilan bulan pertama 2019 susulan pelaksanaan pelan penstrukturannya.

Dalam kenyataan hari ini, Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJ) berkata, bagi tempoh sama, jumlah asetnya turut meningkat dan melebihi liabiliti pada jumlah RM2.3 bilion.

"Menerusi pakej pemulihan bagi melindungi kepentingan penyumbang dan membantu TH kembali stabil, ia tidak lagi perlu menanggung kerugian aset bernilai RM10 bilion kerana kerugian ini akan ditanggung oleh UJ dan Kerajaan Malaysia.

"TH juga tidak perlu lagi menanggung beban dan risiko kerugian berterusan ke atas aset-aset yang telah dipindahkan ini," kata kenyataan itu.

Dalam penjelasan selanjutnya, UJ anak syarikat milik penuh Kementerian Kewangan Diperbadankan berkata, susulan perubahan kerajaan pada 2018, PricewaterhouseCoopers (PwC) yang dilantik mengendalikan kajian semula kedudukan kewangan TH telah mendapati pelbagai langkah diambil oleh pentadbiran terdahulu bagi memalsukan peningkatan dan memanipulasi keuntungan dana terbabit.

Ini termasuk tidak merekodkan kerugian rosot nilai aset dan transaksi kewangan yang mencurigakan bagi mencatatkan keuntungan berganda untuk membayar hibah.

Laporan PwC turut menyatakan bahawa liabiliti-liabiliti TH telah melebihi aset-asetnya dan memerlukan pelaksanaan pelan pemulihan dan penstrukturan semula oleh kerajaan demi memastikan kesinambungan dana TH.

Susulan itu, pakej pemulihan telah dicadangkan oleh TH dan dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof yang kemudiannya diluluskan oleh Kabinet.

Artikel Berkaitan:

"Pakej ini kemudiannya dibentangkan di Parlimen pada 10 Disember 2018. Sebagaimana diusulkan dalam pelan pemulihan itu, UJ telah memperoleh aset-aset bernilai RM9.63 bilion daripada TH pada jumlah RM19.9 bilion melalui terbitan 2 siri sukuk dan tunai kepada TH.

"Ini bermakna Kerajaan telah membayar sebanyak tambahan RM10.3 bilion untuk memulihkan TH," katanya.

Aset-aset yang dipindahkan kepada UJ termasuk campuran ekuiti tersenarai, 29 hartanah dan satu aset tidak tersenarai, termasuk meliputi empat hotel yang beroperasi iaitu TH Hotel Kota Kinabalu; TH Hotel Bayan Lepas; TH Hotel & Convention Centre Alor Setar dan TH Hotel & Convention Centre Kuala Terengganu. Walau bagaimanapun, pindahan milik ini tidak termasuk hartanah atau aset milikan TH Plantations (yang sahamnya kekal dimiliki oleh TH).

Sejajar sebahagian pelan untuk mempergiat dan meningkatkan prestasi kewangan aset-aset yang diperoleh, UJ juga telah menubuhkan anak syarikat milik penuh, UJ Property Management Sdn Bhd (UJPM) bagi meneruskan operasi keempat-empat hotel tersebut.

Sehubungan itu, UJ menegaskan, usaha itu tidak membabitkan pertindihan di TH Hotel & Residence Sdn Bhd (THHR) kerana kira-kira 90 peratus daripada pekerja sedia ada akan diserap ke dalam UJPM manakala baki 10 peratus pula diambil oleh THHR Kelana Jaya.

Malah, di bawah pengurusan baharu, hotel terbabit akan beroperasi serta kekal patuh Syariah di bawah nama baharu Raia Hotel mulai 1 April, 2020 dan UJ turut meluluskan dana bagi mempertingkat kemudahan dan kualiti perkhidmatan hotel tersebut.

Pada masa sama, UJ menafikan segala dakwaan palsu dan berniat jahat oleh pihak tertentu terhadap Kementerian Kewangan atau Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang dituduh tidak bertanggungjawab dengan menutup hotel-hotel TH dan memberhentikan pekerja-pekerja terbabit.

"UJ mengutuk segala tuduhan palsu di media sosial yang memfitnah Menteri Kewangan termasuk satu ugutan bunuh.

"Menteri Kewangan tidak terlibat dengan sebarang keputusan berkenaan penstrukturan semula atau keputusan yang berkaitan dengan UJ dan beliau juga tidak menghadiri sebarang mesyuarat berkaitan UJ," katanya.

Pengurusan UJ dan aset-aset di bawahnya adalah ditadbir oleh Lembaga Pengarah UJ yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Ahmad Badri bin Mohd Zahir dan semua ahli-ahli Lembaga Pengarah, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Izad Sallehuddin serta barisan pengurusan kanan UJ merupakan golongan profesional beragama Islam. - Bernama