Farmasi disamun dua lelaki

Rakaman CCTV menunjukkan suspek memegang objek dipercayai senjata api.
Rakaman CCTV menunjukkan suspek memegang objek dipercayai senjata api.
A
A
A

SIMPANG RENGGAM - Polis daerah ini memburu dua lelaki bagi membantu siasatan selepas dipercayai terlibat kes samun sebuah farmasi di Taman Kasih, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, dua suspek meluru masuk ke dalam premis berkenaan termasuk salah seorang memegang objek menyerupai senjata api.

“Ketika kejadian, suspek mengacukan senjata api kepada dua pekerja farmasi tersebut yang ketika itu berada di bilik stor belakang dan salah seorang suspek yang tidak bersenjata kemudian ke kaunter dan mengambil peti simpanan wang tunai.

“Suspek kemudian terus melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta dipercayai Nissan Sylphy berwarna kelabu dan kesemua mangsa tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurutnya, pengurus farmasi berkenaan membuat laporan polis di Balai Polis Simpang Renggam sejurus selepas kejadian selain mendakwa mengalami kerugian kira-kira RM300 dalam kejadian tersebut.

Salah seorang suspek yang melarikan peti simpanan wang.
Salah seorang suspek yang melarikan peti simpanan wang.

"Kejadian turut disaksikan lima pekerja farmasi berkenaan dan tiada pelanggan selain kesemua pergerakan suspek berjaya dirakam beberapa kamera litar tertutup (CCTV) di farmasi tersebut.

“Bagaimanapun, pengurus farmasi memaklumkan rakaman CCTV tersebut berpusat di Seremban, Negeri Sembilan dan dia (pengurus) akan cuba dapatkan salinan rakaman tersebut secepat mungkin bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Abduh berkata, beberapa cap jari juga berjaya ditimbulkan oleh Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di tempat kejadian dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek dan kejadian ini diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Kasturiah Arif di talian 013-3137051 atau talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang (07-7784222).