Saintis tolak teori konspirasi virus Covid-19

Covid-19
Covid-19
A
A
A

LONDON - Pakar kesihatan dari banyak negara menolak dakwaan kononnya koronavirus (Covid-19) tidak mempunyai punca semula jadi dan menyelar teori konspirasi berkaitan virus itu, lapor agensi berita Xinhua.

"Kami saintis kesihatan awam telah mengikuti perkembangan penyakit Covid-19 dan prihatin mengenai kesannya terhadap kesihatan dan kesejahteraan dunia," kata 27 pakar dari seluruh dunia dalam satu kenyataan disiarkan semalam oleh The Lancet, jurnal perubatan umum.

Mengulas mengenai 'usaha luar biasa' saintis dan profesional kesihatan China dalam mengenal pasti patogen, mengurangkan kesan dan berkongsi maklumat, mereka mengakui 'kepesatan perkongsian data mengenai wabak itu, kini diancam khabar angin dan maklumat salah mengenai asal usulnya'.

Patogen bermaksud mikroorganisma yang menyebabkan penyakit terutama mikroorganisma hidup, sebagai contoh, bakteria atau kulat.

Ahli sains dari pelbagai negara sudah menerbitkan dan menganalisis genetik ejen penyebab dan rata-rata menyimpulkan Covid-19 berasal dari haiwan liar begitu juga dengan banyak lagi patogen lain yang baharu muncul," menurut kenyataan itu.

"Ia turut disokong menerusi surat oleh presiden Akademi Sains, Kejuruteraan dan Perubatan Amerika Syarikat dan komuniti saintifik yang mereka wakili.

"Kami mengutuk teori konspirasi yang mengatakan Covid-19 tidak mempunyai punca semula jadi dan menegaskan teori itu hanya akan mencetuskan ketakutan, khabar angin dan prasangka yang boleh menjejaskan kerjasama dalam memerangi virus tersebut," tambah kenyataan itu.

Ahli sains itu juga menyuarakan sokongan terhadap seruan Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Dunia, Tedros Adhanom Ghebreyesus untuk mempromosikan bukti saintifik dan bersatu menentang maklumat palsu dan andaian salah. - Bernama

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Jangan percaya 'troll', teori konspirasi koronavirus

Dakwaan koronavirus dibuat dalam makmal tidak benar