NGO, orang perseorangan tampil bantu mangsa kebakaran

No Image Caption
A
A
A

KOTA KINABALU - Hampir 300 badan bukan kerajaan (NGO) termasuk orang perseorangan di sekitar bandar raya ini tampil menghulurkan bantuan termasuk makanan dan pakaian untuk mangsa kebakaran di Kampung Pasir Putih, Putatan, dekat sini.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Putatan Sairah Tapa berkata, ia adalah jumlah direkodkan jabatan itu setakat jam 3.30 petang tadi, dan setiap NGO mahupun orang perseorangan yang menghulurkan bantuan perlu merekodkan nama mereka bagi memudahkan jabatan membuat pengagihan secara sama rata kepada semua mangsa terlibat.

"Setakat ini, mangsa didaftarkan di Pejabat Kebajikan Putatan adalah seramai 76 ketua keluarga melibatkan 329 mangsa. Tetapi yang tinggal di pusat pemindahan ini cuma 35 ketua keluarga melibatkan seramai 160 mangsa dan selebihnya tinggal dengan saudara mara.

Setiap sumbangan diterima akan direkodkan di dalam buku. Sekarang ini kami menerima sumbangan terlalu banyak dari NGO dan orang perseorangan termasuk makanan, pakaian, peralatan mandian dan juga barangan dapur seperti beras.” katanya ketika ditemui Bernama di pusat pemindahan sementara di Dewan Serbaguna Putatan, di sini hari ini. .

Bagaimanapun, Sairah berkata pihaknya juga memerlukan peralatan sekolah untuk diberikan kepada anak-anak mangsa yang bersekolah.

Dalam kejadian kebakaran kira-kira 12.30 tengah hari semalam, 55 rumah setinggan di kampung itu musnah dengan keseluruhan keluasan kawasan kebakaran kira-kira empat hektar dan api sukar dikawal berikutan tekanan air pili bomba rendah serta keadaan rumah yang dibina terlalu rapat.

Sementara itu, Presiden Majlis Belia Sabah (MBS) Ahmad Farid Sainuri berkata pihaknya akan menyediakan kekuatan sukarelawan bagi membantu agensi dan jabatan berkaitan menyelaraskan sumbangan diterima bagi memastikan bantuan mencukupi untuk semua mangsa terlibat.

"Kami juga akan mengadakan mesyuarat dengan pegawai daerah mengenai perkara ini selain sukarelawan terlibat juga akan bergotong royong memastikan kawasan pusat pemindahan sementara ini sentiasa bersih," katanya.

Artikel Berkaitan:

MBS turut memberi sumbangan bantal, selimut, tuala, peralatan mandian, dan keperluan harian lain untuk kegunaan mangsa kebakaran sepanjang berada di pusat pemindahan sementara itu, katanya. - Bernama