PRK Cameron Highlands: Peluang Kayveas menang tipis

M Kayveas
A
A

KUALA LUMPUR - Tindakan Presiden MyPPP, Tan Sri M Kayveas menarik diri daripada bertanding dalam PRK Cameron Highlands merupakan langkah tepat buat dirinya.

Penganalisis Politik, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, ini kerana peluang buat Kayveas untuk menang adalah lipis.

Katanya, ia ditambah dengan faktor kekuatan calon tumpuan antara PH dan BN.

“Sebenarnya peluang beliau untuk menang adalah sukar kerana persaingan PRK kali ini adalah jelas antara PH dan BN.

“Sekiranya beliau tetap dengan pendirian untuk bertanding, beliau tahu akan kalah malah ia hanya akan memalukan beliau sebagai presiden,” katanya.

PRK Cameron Highlands hari ini menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon PH, BN dan Bebas.

[ARTIKEL BERKAITAN: Empat penjuru di PRK Cameron Highlands]

Penyandang kerusi ini iaitu BN mencalonkan Ramli Mohd Nor yang merupakan bekas pegawai kanan polis.

PH pula mempertaruhkan calon kitar semula, M Manogaran yang pernah tewas dua kali itu dalam PRU14 dan PRU13 lalu.

Manakala, dua calon Bebas membuat kejutan turut bertanding iaitu Wong Seng Yee dan Salehuddin Ab Talib.

Kerusi Parlimen Cameron Highlands dikosongkan selepas kemenangan penyandangnya, Datuk C Sivaraajh dibatalkan Mahkamah Pilihan Raya kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Dalam PRU lalu, Sivaraajh menang dengan 10,307 undi menewaskan empat calon lain, Manogaran - PH (97,10), Wan Mahadir Wan Mahmud-Pas (3,587), B.Suresh Kumar-PSM (680) dan Mohd Tahir Kassim-Bebas (81)

Pengundi Parlimen Cameron Highlands bakal mengundi pada 26 Januari ini bagi menentukan wakil rakyat baharu.