Lima individu rugi RM400,000

Lima mangsa penipuan pelaburan hartanah tampil membuat laporan polis.
Lima mangsa penipuan pelaburan hartanah tampil membuat laporan polis.
A
A
A

TUMPAT - Menjanjikan pulangan ratusan ribu tetapi habis semua modal lesap.

Itu taktik licik seorang usahawan wanita di negeri ini memperdayakan mangsanya dalam pelaburan hartanah sejak tahun 2016.

Malah suspek berusia 33 tahun dipercayai sudah menjerat ratusan mangsa di negeri ini dengan kerugian jutaan ringgit.

Bimbang lebih ramai lagi terpedaya dengan penipuannya, lima mangsa yang kerugian hampir RM400,000 tampil membuat laporan polis di Balai Polis Wakaf Bharu, hari ini.

Mangsa dikenali Zura, 30, dari Kampung Pasir Pekan Hilir Dalam Pagar berkata, dia melabur pada tahun 2016 sebanyak RM52,000 dalam masa tiga bulan.

Katanya, dia dijanjikan akan mendapat pulangan lumayan selepas 45 hari.

"Janji hanya tinggal janji, selepas setahun pulangan pelaburan diberikan sebanyak RM18,000.

"Sehingga kini tiada lagi pulangan pelaburan seperti dijanjikan, dengan modal kami pun lesap.

Artikel Berkaitan:

"Tergamak dia memperdayakan jirannya sendiri, kata nak bantu orang kampung hidup senang tapi dia tipu kami semua," katanya.

Menurutnya, dia gadai barang kemas, keluarkan wang simpanan dan berhutang dengan adik beradik kerana percaya padanya yang hidup senang selepas menceburi bidang pelaburan hartanah ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Supritendan Ab Rashid Mat Daud mengesahkan menerima lima laporan polis berhubung kes terbabit.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.