Bukan hapus subsidi rakyat: MB Selangor

Amirudin menyampaikan bantuan persekolahan kepada salah seorang penerima.
A
A

BATU CAVES - Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari menolak dakwaan penjajaran program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) adalah kaedah kerajaan negeri menghapuskan subsidi kepada rakyat selepas mempertahankan kemenangan semasa PRU14 lalu.

Sebaliknya beliau menjelaskan, penstruktuan semula program kerajaan negeri itu adalah untuk menyalurkan bantuan secara berfokus mengikut kategori dan keperluan kumpulan.

Menurutnya, sebanyak RM3.2 bilion dibelanjakan kerajaan negeri untuk program IPR sejak 2008 sehingga Disember lalu.

"Antaranya bermula dengan Skim Mesra Usia Emas, Kasih Ibu Smart Selangor dan kad Peduli Sihat.

"Program bantuan air percuma yang berfokus untuk B40 bukan salah satu penghapusan subsidi kepada semua rakyat sebaliknya kerajaan negeri mengubah bentuk bantuan untuk golongan pertengahan kepada bantuan perniagaan bergantung keperluan mengikut kategori," katanya.

Beliau berkata demikian semasa program penyerahan bantuan IPR peringkat Dun Sungai Tua, malam tadi.

Beliau yang juga Adun Sungai Tua menjelaskan, penjajaran IPR adalah bagi memastikan program yang dijalankan boleh dilaksanakan dalam jangka masa masa panjang bergantung kedudukan kewangan negeri.

"Polisi 2019 kerajaan negeri menetapkan yang perbelanjaan untuk program IPR adalah bukan sekadar pemberian semata-mata tapi adalah yang benar-benar berdaya dan perkasa rakyat.

"Insentif perkahwinan sebanyak RM500 saya anggap bagus tapi nilainya untuk keluarga baharu jika pasangan dua-duanya dari Selangor dan dapat RM1,000 wang itu boleh belanja untuk sebulan atau sekadar cukup beli sebuah TV.

"Untuk itu, kita ubah bentuk bantuan tersebut kepada ilmu rumah tangga kerana mahu pasangan baharu bijak hadapi krisis dan terapkan pengurusan mampan," katanya.

Jelasnya, formula sedia ada akan digunakan dan diubah secara berperingkat dengan sehingga melihat sejauh mana keberkesanan dan hasilnya.

Dalam program itu, beliau menyalurkan bantuan Kiss dan Back To School kepada penduduk Dun Sungai Tua.