Cikgu kempunan pakai kereta Honda

Suffian Sulaiman
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang guru bukan sahaja 'kempunan' memiliki sebuah kereta Honda , tetapi turut berputih mata apabila terpaksa menanggung kerugian RM6,000 akibat ditipu.

Kejadian bermula selepas guru lelaki berusia 50 tahun itu melayari sebuah laman sosial sebelum tertarik dengan satu tawaran iklan jualan kereta dari sebuah syarikat beralamat di Kuala Lumpur, kira-kira jam 12.05 malam, pada Selasa lalu.

Menurut sumber, mangsa teruja dengan tawaran harga kereta jenis Honda City serendah RM6,000 lalu terus menghubungi nombor telefon milik jurujual yang diletakkan di dalam iklan tersebut.

"Kira-kira jam 8 pagi (Selasa), mangsa menerima WhatsApp daripada nombor dihubungi sebelum ini meminta agar membuat bayaran pendahuluan berjumlah RM1,500 dalam kadar segera.

"Dalam masa sama, jurujual terbabit turut menghantar butiran kereta itu kononnya bagi menyakinkan mangsa bahawa kereta dimaksudkan memang wujud.

"Tanpa sebarang syak, mangsa terus membuat pindaan wang ke akaun bank diberikan jurujual berkenaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Sumber berkata, bagaimanapun, kira-kira jam 8.30 malam hari sama, sekali lagi mangsa dihubungi jurujual itu sebelum meminta menjelaskan baki yang masih ada dengan alasan kereta tersebut sudah dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

"Dek kerana terlalu percaya dan teruja untuk mendapatkan kereta tersebut, tanpa berfikir panjang, mangsa akur sebelum memasukkan baki wang ke dalam akaun sama.

"Setengah jam kemudian, mangsa dihubungi jurujual itu yang meminta agar datang ke pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Terengganu kira-kira jam 12 tengahari esok (Rabu) kononnya untuk proses pertukaran nama," katanya.

Jelas sumber, pada hari dijanjikan, kira-kira jam 8 pagi, mangsa cuba menghubungi jurujual itu bagi mendapatkan kepastian lokasi sebenar mereka akan berjumpa sebelum ke pejabat JPJ.

"Namun panggilannya langsung tidak berjawab sehinggalah pada Khamis lalu mangsa mengambil keputusan membuat laporan polis kerana menyedari dirinya sudah ditipu," katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian.

Jelasnya, kes tersebut kini sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun sebat serta boleh dikenakan denda, jika disabitkan kesalahan.