Jurusolek direman tujuh hari disyaki cabul pelakon sambilan

MELAKA - Seorang jurusolek yang juga pendandan rambut direman tujuh hari selepas disyaki mencabul seorang pelakon sambilan ketika berada di sebuah salun di Ayer Keroh, di sini pada Jumaat lalu.
Perintah reman terhadap suspek berusia 41 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman di Mahkamah Majistret di sini, pada Isnin.
Pemangku Ketua Polis Melaka, Datuk Md Nazri Zawawi berkata, mangsa berusia 18 tahun dan merupakan pelajar di sebuah kolej di Bangi, Selangor datang ke salun suspek kira-kira jam 3 petang selepas tertarik dengan tawaran lelaki itu yang mahu memberikan khidmat dandanan rambut secara percuma.
Menurutnya, mangsa yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik mengenali suspek kemudian turut ditawarkan urutan badan dan suspek mengurut bahagian paha mangsa.

"Bagaimanapun suspek bertindak berani dengan membuka seluar mangsa yang juga bekerja sambilan sebagai pelakon istana budaya dan melakukan perbuatan tidak senonoh.
"Selesai urutan pengadu terus keluar dari salon suspek dan mengambil masa bertenang sebelum membuat laporan polis," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Isnin.
Jelasnya, sepasukan polis dari Bahagian D11 (Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka kemudian menangkap suspek di hadapan premis itu di Taman Tasik Utama, di sini kira-kira jam 4.30 petang Ahad.
"Suspek ditahan reman sehingga Ahad ini dan disiasat di bawah 377C Kanun Keseksaan (KK) iaitu dengan sengaja melakukan persetubuhan di luar tabii," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!