Produk ubat 'kuat': Periksa dulu sebelum makan

Salah satu produk Energy Candy yang disyaki mengandungi barang terlarang oleh KKM.
Salah satu produk Energy Candy yang disyaki mengandungi barang terlarang oleh KKM.
A
A
A

KOTA BHARU – Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan memastikan makanan dan produk kesihatan selamat dimakan bagi mengelakkan diri daripada bahaya dan kemudaratan.

Pengerusi Biro Kesihatan Awan Nasional yang juga doktor di Klinik Perdana Cawangan Islah, Dr Hafidzah Mustakim berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengambil langkah membuat pemantauan terhadap makanan dan ubat-ubatan terutama produk Mixed Fruit Candy dan Energy Candy yang mengandungi racun.

"Masyarakat perlu memainkan peranan dengan melaporkan kepada pihak kerajaan mengenai penjualan makanan ataupun gula-gula yang tidak sepatutnya.

“Energy Candy mengandungi bahan terlarang racun berjadual tadalafil digunakan untuk merawat pesakit yang mengalami masalah Erectile Dysfunction (mati pucuk).

“Jangan mudah percaya dan terpedaya kerana pengambilan bahan seperti itu boleh menyebabkan komplikasi terhadap keseluruhan badan sehingga memudaratkan kesihatan,” katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Beliau berkata, pengimport dan pengeluar makanan serta produk-produk tenaga dan penjagaan kesihatan juga perlu bertanggungjawab terhadap keselamatan pengguna dan tidak hanya mengaut keuntungan semata-mata.

“Pengguna boleh hubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat sekiranya mempunyai sebarang kemusykilan atau layari laman sesawang http://moh.spab.gov.my serta Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) di www.facebook.com/bkkmhq,” katanya.

Artikel Berkaitan: