X

Kindly register in order to view this article
!

UniKL, THT tentukan kejuaraan Piala TNB

Muhammad Razie muncul wira UniKL pada aksi separuh akhir di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil hari ini.
A
A

IMPIAN juara Divisyen Premier Liga Hoki Malaysia (MHL) 2020, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) menamatkan musim ini selaku juara ‘treble’ semakin cerah selepas mengesahkan tempat di pentas final saingan Piala TNB, hari ini.

Ia susulan kemenangan 2-1 dilakar skuad bimbingan Arul Selvaraj ke atas Maybank pada aksi separuh akhir di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, di sini, sekali gus mencerahkan peluang UniKL menambah koleksi kejuaraan selepas menjuarai Piala Sumbangsih dan Divisyen Premier MHL.

Pemain kebangsaan, Muhammad Razie Abd Rahim muncul wira pasukan apabila menyumbat dua gol menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-33 sebelum tenang menyempurnakan pukulan penalti, dua minit berselang.

Status UniKL sebagai pasukan terbaik dengan rekod 14 perlawanan tanpa kalah dalam saingan liga, bagaimanapun tidak mematahkan semangat juang Maybank yang memberikan saingan sengit sepanjang perlawanan.

Sepuluh minit terakhir perlawanan menyaksikan Maybank mengasak bertali arus dalam usaha membawa permainan ke penentuan pukulan penalti, namun hanya berjaya menyumbat gol sagu hati hasil pukulan sudut penalti Adam Aiman Mamat pada minit ke-54.

"Saya perlu memuji Maybank kerana berusaha keras dan memaksa kami berjuang hingga ke akhir. Saya rasa perlawanan ini memberi manfaat kepada pasukan menjelang final. Ini adalah perlawanan pemanas badan yang baik untuk ke final.

"Kita masih kekurangan 50 peratus untuk mencapai sasaran yang diletakkan pihak pengurusan, oleh itu sasaran seterusnya menjuarai Piala TNB,” kata Arul kepada pemberita selepas tamat perlawanan.

Muhamad Marhan cuba melepasi pemain Maybank pada aksi di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil hari ini.
Muhamad Marhan cuba melepasi pemain Maybank pada aksi di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil hari ini.

UniKL akan berdepan Terengganu Hockey Team (THT) pada final sekali gus mengulangi aksi perlawanan akhir Piala Sumbangsih.

THT berjaya meraih kemenangan tipis 4-3 ke atas Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang menampilkan permainan bertenaga dalam perlawanan penuh dramatik pada satu lagi aksi separuh akhir di venue sama.

THT selesa mendahului 3-0 hasil tiga jaringan pukulan sudut penalti disudahkan pemain import dari Korea Selatan, Jang Jong Hyun pada minit ketujuh, minit ke-27 dan minit ke-28 sebelum Muhammad Azrai Aizad dan Syed Mohamad Syafiq masing-masing meledak gol pada minit ke-33 dan ke-35 untuk TNB bangkit merapatkan kedudukan 3-2.

Dua minit berselang, Luqman Nul Hakim Ahmad Shukran melebarkan jurang pendahuluan TNT menerusi jaringan padang pada minit ke-37 dan TNB kembali mengurangkan defisit pada minit ke-41 menerusi pukulan sudut penalti Muhamad Aminuddin Mohd Zain.

Keputusan kekal 4-3 berpihak THT yang dijadual membuat perhitungan menentang UniKL bagi merebut gelaran juara Piala TNB pada Sabtu ini di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil. - BERNAMA


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus