Jangan pertikai, manipulasi urusan pemilihan Yang di-Pertuan Agong

Abu Bakar Yahya berbincang dengan wakil Gabungan NGO Melayu Malaysia yang mengemukakan memorandum meminta Perdana Menteri memastikan tiada campur tangan politik dan kerajaan dalam pemilihan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong di Pintu Masuk Utama, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, semalam.
A
A

PUTRAJAYA - Mana-mana pihak tidak perlu cuba mempertikaikan apatah lagi memanipulasikan sebarang isu berkaitan pemilihan Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Setiausaha Politik Perdana Menteri, Abu Bakar Yahya berkata, soal pemilihan dua jawatan tertinggi negara itu adalah tertakluk di bawah kuasa Majlis Raja-raja mengikut Perkara 32 dan 33 Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, tuntutan pihak tertentu supaya pihak kerajaan atau badan eksekutif tidak campur tangan dalam pemilihan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong dilihat bukan sahaja tidak logik, tetapi tidak berasas sama sekali.

"Dalam Perlembagaan Persekutuan sendiri telah menetapkan bahawa pihak kerajaan (badan eksekutif) tidak boleh mencampuri dalam urusan pemilihan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

"Maka adalah lebih baik mana-mana pihak supaya berhenti daripada mempolemikkan isu pelantikan dua jawatan institusi beraja ini. Sebaliknya kita harus mempertahan dan menghormati kedaulatan undang-undang dan prinsip-prinsip Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Abu Bakar yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu itu berkata demikian selepas menerima memorandum daripada Gabungan NGO Melayu Malaysia kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad semalam yang membantah campur tangan kerajaan dan ahli politik dalam pemilihan Yang di-Pertuan Agong di pintu masuk pengawal Pejabat Perdana Menteri, di sini hari ini.

Memorandum yang sama turut dihantar kepada Perdana Menteri kelmarin oleh kumpulan peguam, Concerned Lawyers of Justice (CLJ) yang diwakili pengarahnya, Hafiz Norkhan.

Isnin lalu, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad dalam satu kenyataan memaklumkan keputusan mesyuarat Majlis Raja-raja yang menetapkan tarikh 24 Januari ini untuk mengadakan Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja bagi memilih Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Mesyuarat itu turut menetapkan bahawa Mesyuarat Khas bagi acara mengangkat sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong akan diadakan pada 31 Januari 2019.