Rakyat bertanggungjawab jatuhkan pemimpin bawa dasar tidak baik: Tun M

Dr Mahathir dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali bergambar kenangan bersama peserta pada Program Sekolah Kepimpinan Masa Depan Malaysia (MFLS) fasa ketiga di Pusat Belia Antarabangsa hari ini. - Foto: Bernama
Dr Mahathir dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali bergambar kenangan bersama peserta pada Program Sekolah Kepimpinan Masa Depan Malaysia (MFLS) fasa ketiga di Pusat Belia Antarabangsa hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, rakyat bertanggungjawab menjatuhkan pemimpin yang gagal membawa dasar yang baik untuk negara.

Menurutnya, ia sebagaimana sistem demokrasi yang memberi kuasa kepada rakyat untuk menentukan pemimpin berdasarkan prestasi mereka.

"Kita tidak boleh jamin bahawa dasar yang baik sekalipun yang telah berjalan sekian lama akan diteruskan apabila kita menukar kerajaan.

"Ini adalah risiko yang kita hadapi kerana kita harus ingat adakalanya dasar yang diadakan itu buruk dan kita menunggu-nunggu untuk mengadakan PRU (pilihan raya umum) supaya kita dapat turunkan pemimpin yang buruk ini untuk diganti dengan yang baik," katanya ketika sesi dialog Program Malaysia Future Leaders School (MFLS) Tier 3 2020 di Pusat Belia Antarabangsa di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan dikemukakan salah seorang peserta program yang bertanya tentang sejauh mana jaminan program MFLS akan dikekalkan sekiranya bertukar kerajaan.

Dr Mahathir berkata, pertukaran dasar adalah disebabkan kepimpinan yang baharu lebih cenderung untuk memperkenalkan cara sendiri.

"Apabila saya buat keputusan untuk letak jawatan pada 2002 saya percaya pada ketika itu rancangan yang berjaya akan diteruskan supaya kejayaan akan berterusan sehingga kita mencapai matlamat kita wawasan 2020 menjadi negara maju.

"Tetapi saya lihat apabila saya letak jawatan ada pertukaran daripada segi pemikiran dan juga dasar..pertukaran ini disebabkan oleh kepimpinan baharu yang biasanya ingin memperkenalkan caranya sendiri.

Artikel Berkaitan:

"Dengan itu kita lihat kemerosotan berlaku. Ditukar pula kepada pemimpin yang lain. Sekali lagi ada pertukaran," katanya.