X

Kindly register in order to view this article
!

Polis Marin rampas rokok seludup lebih RM600,000

Rosman (tengah) menunjukkan antara rampasan rokok seludup yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah tiga tingkat di Klang, semalam.
A
A

PELABUHAN KLANG - Sebuah rumah tiga tingkat di Jalan Prai, Klang Utara di sini yang dipercayai dijadikan sebagai stor simpanan rokok seludup bernilai lebih RM660,000 digempur Pasukan Polis Marin (PPM), semalam.

Komander PPM Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, bertindak hasil risikan dan maklumat, PPM Pelabuhan Klang menerusi Op Landai mengesan rumah terbabit kira-kira jam 8.30 pagi.

Menurutnya, ketika intipan dilakukan, sebuah kereta jenis Honda City yang mencurigakan memasuki rumah berkenaan sebelum bertindak memecut selepas menyedari kehadiran polis.

“Anggota operasi kemudian mengekori kereta terbabit sebelum berjaya menahannya di sebuah stesen minyak di Jalan Haji Sirat, Klang.

"Tiga lelaki telah ditahan dan hasil pemeriksaan lanjut mendapati ada pelbagai jenis rokok tidak bercukai disimpan di dalam but kereta," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Rosman (tengah) menunjukkan pelbagai jenis rokok tidak bercukai dalam but kereta suspek.
Rosman (tengah) menunjukkan pelbagai jenis rokok tidak bercukai dalam but kereta suspek.

Beliau berkata, soal siasat kemudian membawa serbuan di rumah tiga tingkat terbabit dan menemui 5,288 karton rokok seludup dianggarkan bernilai RM661,572.07.

Katanya, selain rokok, PPM juga menyita wang tunai berjumlah RM57,800 dan Honda City tersebut.

"Siasatan pihaknya percaya suspek aktif mengedar rokok sejak setahun lalu di sekitar Lembah Klang. Kes masih disiasat untuk mengesan jika ada kumpulan lain yang terbabit dan bagaimana suspek memperoleh bekalan rokok,” katanya.

Rosman berkata, kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967.

Menurutnya, pihaknya akan terus mempertingkatkan lagi pengumpulan maklumat dan operasi dari semasa ke semasa bagi menangani aktiviti penyeludupan.

Sehubungan itu, masyarakat diminta tampil menyalurkan maklumat apa jua perlakuan melanggar undang-undang khususnya di perairan negara.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus