Kebersihan tanggungjawab bersama

A
A
A

KEBERSIHAN adalah suatu yang dicintai ALLAH. Ini dinyatakan dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Sesungguhnya ALLAH SWT itu baik, Dia menyukai kebaikan. ALLAH itu bersih, Dia menyukai kebersihan. ALLAH itu mulia, Dia menyukai kemuliaan. ALLAH itu dermawan ia menyukai kedermawanan maka bersihkanlah olehmu tempat-tempatmu dan janganlah kamu menyerupai kaum Yahudi.” (Riwayat al-Tirmizi)

Orang tua-tua pernah berkata bahawa jika hendak tahu sama ada seseorang itu pembersih atau tidak, tengoklah tandas di rumahnya. Ada benarnya kata-kata tersebut.

Berdasarkan pemerhatian dan pengalaman yang dilalui, orang yang pembersih akan menjaga kebersihan di mana sahaja. Dia pasti tidak selesa dengan suasana yang kotor. Jika dia cintakan kebersihan, dia bukan sahaja akan menjaga kebersihan di rumahnya sahaja, malah di mana-mana tempat sekalipun dia akan pastikan kebersihan dijaga.

Bila bercakap tentang kebersihan, saya masih sedih dengan masyarakat Malaysia. Bila saya masuk ke dalam tandas awam, misalnya, saya pasti akan lihat perkara yang tidak sepatutnya berlaku seperti kesan tapak kasut di atas tempat duduk bagi tandas duduk, sampah dibuang di tempat khas untuk tuala wanita, lantai yang basah dan lain-lain lagi yang melambangkan ketidakcaknaan terhadap kebersihan.

Saya yakin orang yang melakukan perkara tersebut memang bukan pembersih sebenarnya. Malah saya sifatkan orang yang suka melakukan perkara-perkara seumpama itu sebagai tidak bertanggungjawab dan pentingkan diri sendiri.

Saya pernah menziarahi Korea. Ketika saya ke pasar untuk membeli-belah, saya tidak terhidu bau busuk tandas bila melalui kawasan berdekatan tandas. Bila saya masuk ke dalamnya, tandasnya putih bersih.

Semalam saya singgah di sebuah hentian rehat untuk tunaikan solat. Seusai solat saya menuju ke tempat yang ada cermin untuk betulkan tudung. Sedih bila saya nampak begitu banyak calitan berwarna merah yang saya agak jari-jari yang menyapu lebihan alat solek ke dinding. Bertanggungjawabkah mereka itu? Seusai solat terus membuat dosa.

Itu kisah di surau. Jika kita ke kawasan perumahan, tentu banyak lagi pemandangan yang menyakitkan mata. Malah saya pernah ke suatu kawasan perumahan yang bangunannya bertingkat-tingkat. Saya lihat dengan mata saya sendiri bagaimana penghuni di tingkat atas dengan selamba membuang sampah lebihan makanan ke bawah yang hampir-hampir menimpa saya.

Artikel Berkaitan:

Memang betul bukan semua begitu tetapi majoritinya tidak bertanggungjawab terhadap kebersihan.

Saya berpandangan, hal ini ada kaitan dengan pendidikan di rumah dan di pusat-pusat pendidikan. Jika ibu bapa mendidik anak-anaknya untuk menjaga kebersihan sejak dari kecil lagi dan diteruskan di semua peringkat pusat pendidikan, maka anak-anak yang sudah dibiasakan dengan budaya menjaga kebersihan dan sentiasa dipupuk dengan budaya ‘menjaga kebersihan adalah tanggungjawab bersama’ sudah pasti akan menjadi rakyat Malaysia yang memelihara kebersihan walau di mana mereka berada.

Bila budaya itu diwariskan daripada satu generasi ke satu generasi, sudah tentu negara Malaysia boleh mencapai cita-citanya untuk menjadi negara yang bersih.

Oleh itu, saya sangat mengharapkan ibu bapa agar tunjukkanlah tauladan yang baik kepada anak-anak dalam aspek menjaga kebersihan dan biasakanlah mereka dengan rasa bertanggungjawab untuk sama-sama menjaga kebersihan walau di mana mereka berada. Ini kerana pendidikan itu bermula di rumah sebenarnya dan bukannya di sekolah.

Akhir kalam, jadilah rakyat Malaysia yang pembersih dan mengambil tanggungjawab untuk sama-sama menjaga kebersihan biarpun ada pihak yang sudah diberi tanggungjawab khas terhadap tugas pembersihan. Wallahu a’lam.

Bila budaya itu diwariskan daripada satu generasi ke satu generasi, sudah tentu negara Malaysia boleh mencapai cita-citanya untuk menjadi negara yang bersih."