Syed Saddiq enggan ulas Pakatan Nasional, fokus isu belia

Syed Saddiq menurunkan tandatangan sebagai merasmikan bangunan baharu Pusat Belia Antarabangsa (IYC) hari ini. - Foto Bernama
Syed Saddiq menurunkan tandatangan sebagai merasmikan bangunan baharu Pusat Belia Antarabangsa (IYC) hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman enggan menyatakan pendiriannya berhubung penubuhan Pakatan Nasional sebaliknya mahu menumpukan isu-isu penting melibatkan golongan belia.

Beliau berkata, banyak isu yang dekat dengan hati anak muda perlu diberi tumpuan khususnya isu pekerjaan.

"Saya agak yakin majoriti anak muda semua ingin melihat masalah asas mereka diselesaikan dahulu. Fokus pada perkara itu.

"Pada bulan April atau Mei ini juga kita akan menggerakkan program Malaysia@Works di mana kerajaan telah memperuntukkan RM6.5 bilion untuk mencipta 300,000 peluang pekerjaan," katanya ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Bangunan Baharu Pusat Belia Antarabangsa (IYC) di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas desas-desus kononnya bakal wujud kerjasama baharu politik dinamakan Pakatan Nasional membabitkan sebahagian parti Pakatan Harapan dengan UMNO dan Pas.

Sementara itu, Syed Saddiq berkata, bangunan baharu IYC akan membuka lebih banyak peluang untuk menggerakkan program anak muda sehingga ke peringkat antarabangsa.

"Saya akan pastikan lebih banyak bidang antarabangsa khususnya dalam kalangan anak muda dapat dibawa ke sini.

"Pada masa sama bukan hanya dapat melaksanakan persidangan tetapi mahu lebih banyak anak muda menggunakan platform IYC, aktiviti sukarelawan juga menggunakan IYC sebaik mungkin," katanya.

Artikel Berkaitan:

IYC dibina melalui Projek Rancangan Malaysia Ke-10 dalam 'rolling plan' ke 4 di bawah projek pembangunan agensi Kementerian Belia dan Sukan bermula Disember 2015.

Bangunan tersebut menyediakan kemudahan penginapan, bilik mesyuarat, bilik seminar dan bengkel, ruang makan, ruang rekreasi serta surau.

Kemudahan ini memberi nilai tambah kepada kemudahan sedia ada IYC bagi menampung keperluan penganjuran program seminar persidangan di peringkat nasional dan antarabangsa.