Pemandu e-hailing tak mengaku rompak pasangan kekasih

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pemandu e-hailing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan terhadap pasangan kekasih pada Januari lepas.

Nor Fikri Edli Mohd Nordin, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim M M Edwin Paramjothy.

Bagi semua pertuduhan, dia didakwa bersama-sama dua individu yang masih bebas melakukan rompakan berkumpulan terhadap Mohamad Salleh Hassan, 26, dan Nur Syafiqah Izrin Hussaini, 25, dengan mengambil dua buah telefon bimbit, kad pengenalan, kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM), dua keping MyKid, lesen memandu, wang tunai RM300 serta sebuah motosikal milik mangsa.

Lelaki itu dituduh melakukan kesalahan tersebut di sebuah hotel di Jalan Seri Utara 1, Jalan Batu 6 ½, Jalan Ipoh di sini pada 4 pagi, 30 Januari lepas mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nurliyana Mohd Jafri tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam tidak membuat sebarang rayuan berhubung jaminan.

Mahkamah menetapkan 11 Mac ini untuk sebutan semula kes. - Bernama

Artikel Berkaitan: