X

Kindly register in order to view this article
!

Foto Syukor: Terengganu rancang pelancongan komuniti

Foto:Facebook Syukor Khamis - Kampung Boy.
A
A

KUALA TERENGGANU – Kerajaan mungkin menjadikan Kampung Kubang Bujuk sebagai salah satu lokasi pelancongan komuniti yang mampu menarik kehadiran pelancong untuk menikmati suasana sebenar kehidupan desa.

Ia berikutan keunikan dan keistimewaan Syukor Khamis, 14, remaja yang akrab dengan ternakan peliharaan bapanya hingga menarik para jurugambar merakamkan momen-momen indah hubungan antara manusia dan haiwan.

Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri Terengganu, Ariffin Deraman berkata, perbincangan dengan pegawai pelancongan akan diadakan dalam masa terdekat mengenai perkara tersebut.

“Adik Syukor dan Kampung Kubang Bujuk kini menjadi terkenal di seluruh dunia ekoran gambarnya dengan kerbau. Kita nampak tempat ini boleh jadi tumpuan ramai terutama jurugambar dan oleh itu kita akan bincang tentang perancangan masa depan.

“Adik Syukor masih bersekolah jadi kita tidak mahu terlalu mengganggu dia, oleh itu kita juga akan jumpa keluarga Syukor bagi membincangkan perkara ini dalam konteks pelancongan komuniti,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Syukor satu dalam sejuta]

[ARTIKEL BERKAITAN: 'Syukor anugerah ALLAH SWT']

Ariffin yang juga Adun Alur Limbat berkata, Kampung Kubang Bujuk yang terletak dalam kawasannya selama ini dilihat sekadar perkampungan biasa dengan rata-rata penduduknya memelihara kerbau, lembu dan kambing.

"Kemenangan jurugambar yang menjadikan hubungan Syukor dengan kerbau, lembu dan kambing peliharaan bapanya sebagai subjek rakaman lensa mengubah persepsi ini.

“Gelagat beliau berjaya mencuri tumpuan para jurugambar yang akhirnya menggemparkan dunia fotografi antarabangsa sekali gus menaikkan nama Terengganu ke persada dunia,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus