Gesa kerajaan kurangkan jumlah pekerja Myanmar

Kadir Jasin
Kadir Jasin
A
A
A

SHAH ALAM - Penasihat Media dan Komunikasi Perdana Menteri, Datuk A Kadir Jasin menyarankan kerajaan melihat semula polisi terhadap pekerja Myanmar dengan tujuan mengurangkan jumlah mereka.

Menurutnya, jumlah pekerja Myanmar yang terlalu ramai di Malaysia menyebabkan sebilangan daripada mereka mula berani melawan anggota keselamatan negara.

“Mereka memonopoli pasar basah dan memanipulasi harga barang. Mereka boleh kaya kerana sikap kita yang pemurah, kaum Rohingya yang menjadi mangsa di negara mereka menjadi pengemis di negara kita.

“Kita seharusnya berhenti memberi kepada negara dan orang yang tidak menghormati kemanusiaan dan tiada kesopanan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 23 Januari lalu, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengarahkan Myanmar mengambil langkah segera bagi melindungi kaum Rohingya daripada tindakan kejam sehingga mengakibatkan ribuan dari kaum itu terbunuh dan menjadi pelarian.

Kes itu difailkan oleh Gambia pada November tahun lalu kepada badan tertinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk pertikaian antara negara itu, mendakwa Myanmar melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap etnik Rohingya dengan melanggar konvensyen 1948.

Dalam keputusan sebulat suara oleh 17 panel hakim, mahkamah berkata, etnik Rohingya menghadapi ancaman berterusan dan Myanmar mesti bertindak untuk melindungi mereka.

Myanmar mesti mengambil semua langkah dalam kuasanya untuk menghalang semua perbuatan yang dilarang di bawah Konvensyen Genocide 1948, dan melaporkan semula dalam masa empat bulan, kata Hakim Abdulqawi Yusuf ketika membaca ringkasan penghakiman.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, kerajaan Myanmar menolak saranan ICJ dengan alasan dunia tidak mendapat gambaran sebenar situasi yang berlaku di negara itu.

Selain itu, Myanmar menegaskan operasi ketenteraan yang dilancarkan adalah untuk menghapuskan kumpulan pengganas di wilayah Rakhine.