X

Kindly register in order to view this article
!

APMM kumpul lebih RM28,000 bantu pegawai

Mohd Zubil menyampaikan cek sumbangan kepada Sarina di pejabatnya hari ini.
A
A

PUTRAJAYA - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya mengumpul lebih RM28,000 bagi membiayai pembedahan salah seorang pegawainya yang mengalami bengkak salur darah utama.

Ketua Pengarahnya, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, jumlah RM28,840 berjaya dikumpulkan dalam tempoh dua hari sejak kutipan itu dilancarkan Isnin lalu.

"Kita dimaklumkan Bintara Kanan Maritim Mohd Khidir Ridzuan Mohd Som memerlukan lebih RM50,000 sebagai kos pembedahan dan pembelian alatan 'chimney stand' yang digunakan sebagai gantian bahagian salur darah utama yang membengkak," katanya.

Menurutnya, APMM menerusi Kelab kebajikan dan Sukan Maritim Malaysia (Kesmar) akan terus membuka kutipan tersebut sehingga kos tersebut dapat dipenuhi.

"Anggota dan pegawai yang ingin meringankan beban Mohd Khidir Ridzuan boleh menyumbang menerusi Kesmar negeri masing-masing," katanya.

Beliau berkata, APMM turut meluluskan perpindahan pegawai tersebut dari Kudat ke Linggi berkuat kuasa hari ini.

"Ini bagi membolehkan isteri dan anak-anaknya berada lebih dekat dengan Mohd Khidir Ridzuan yang kini sedang dirawat di Hospital Kuala Lumpur," katanya kepada Sinar Harian selepas menyampaikan sumbangan itu kepada waris keluarga, Sarina Mat Som di ibu pejabat APMM di sini hari ini.

Sementara itu, Sarina, 42, ketika ditemui berkata, pihaknya terharu dengan sumbangan diberikan bagi meringankan beban adiknya.

"Terima kasih kepada seluruh warga APMM atas bantuan ini," katanya sebak.

Mohd Khidir Ridzuan, 41, mula mengalami penyakit itu pada November lalu dan berulang-alik ke Hospital Kudat untuk mendapatkan rawatan sebelum memutuskan untuk pulang ke Negeri Sembilan.

Beliau dirawat di Hospital Jelebu sebelum dipindahkan ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban dan kemudiannya dibawa ke HKL untuk rawatan lanjut.

ARTIKEL BERKAITAN: Selalu kebas kaki, rupa-rupanya salur darah bengkak