Bekas penolong pengurus Paip didakwa terima rasuah RM273, 650

Jamal Nasir (tengah) diiringi pegawai SPRM keluar dari mahkamah selepas didakwa atas 11 pertuduhan rasuah, hari ini.
Jamal Nasir (tengah) diiringi pegawai SPRM keluar dari mahkamah selepas didakwa atas 11 pertuduhan rasuah, hari ini.
A
A
A

KUANTAN- Bekas penolong pengurus pengeluaran Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini terhadap 11 pertuduhan menerima suapan dengan jumlah keseluruhan RM273, 650.

Berdasarkan pertuduhan, Jamal Nasir Mamat,63, didakwa menerima suapan daripada pengarah sebuah syarikat berjumlah antara RM4,000 dengan RM90,000 sebagai balasan tawaran projek baik pulih pasca banjir 2014 bernilai lebih RM3 juta yang akan diberikan secara lantikan terus daripada pihak Paip kepada syarikat tersebut.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di dua cawangan bank di sini antara 5 Disember 2015 hingga 26 Oktober 2017.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikuti Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang boleh di hukum di bawah Seksyen 24 (1) Akta yang sama.

Tertuduh berdepan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikuti mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pengarah I Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM, Wan Shaharuddin Wan Ladin menawarkan ikat jamin RM150,000 terhadap tertuduh bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Beliau juga memohon syarat tambahan iaitu Jamal Nasir perlu melaporkan diri di Pejabat SPRM Pahang setiap minggu pertama setiap bulan sehingga kes perbicaraan selesai.

"Saya juga memohon agar mahkamah membenarkan tertuduh menyerahkan pasport miliknya kepada pihak mahkamah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun peguam, Datuk Syed Azimal Amir Abu Bakar yang mewakili tertuduh memohon jumlah itu dikurangkan kerana anak guamnya sudah bersara dan menghidap penyakit jantung serta kini menerima rawatan di sebuah hospital.

"Jaminan patut dikurangkan kerana pihak pendakwaan sudah meletakkan beberapa syarat tambahan dan ikat jamin yang ditawarkan hanya bagi memastikan kehadiran anak guam saya ke mahkamah.

"Buat masa ini, anak guam saya hanya berjaya mengumpul RM60,000 dan pohon mahkamah membenarkan ikat jamin pada jumlah itu," katanya.

Hakim, Mohd Ghazali Mohamad Taib membenarkan tertuduh diikat jamin RM80,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh sebutan pada 4 Mei depan.