Masalah muara cetek diatasi

Azman Ibrahim
Azman Ibrahim
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu telah menyediakan rangka Term of Reference (TOR) bagi tujuan pelantikan perunding bagi cadangan mendalamkan Pelabuhan Chendering.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, rangka terma rujukan itu berada di bawah pengawasan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Pusat.

Menurutnya, pelabuhan Chendering merupakan pelabuhan utama bagi nelayan yang keluar masuk ke laut bagi menjalankan aktiviti penangkapan ikan.

“Pada masa ini, pelabuhan itu mengalami masalah muara cetek akibat mendapan pasir yang berlaku di muara sungai.

“Cuaca dan perubahan iklim adalah salah satu faktor yang menyebabkan struktur pemecah ombak yang sedia ada tidak dapat berfungsi dengan baik menyebabkan mendapan pasir berlaku dengan cepat dan menjadikan muara cetek,” katanya.

Dr Azman berkata, selain pelabuhan Chendering, kerajaan turut memberi tumpuan kepada muara sungai Ibai yang merupakan satu-satunya laluan bot-bot nelayan bagi Kampung Kuala Ibai, Chendering, Tok Adis, Kampung Laut dan Pengkalan Setar.

Katanya, masalah utama dihadapi nelayan di sana adalah isu muara sungai cetek dan kuala tertutup yang telah dirasai sejak bertahun lalu dan keadaan ini dikatakan semakin buruk.

“Fenomena ini menjadi penghalang kepada aktiviti keluar masuk bot-bot nelayan yang terpaksa menunggu air pasang.

Artikel Berkaitan:

“Masalah muara kuala sungai cetek turut menjejaskan aktiviti sukan riadah di kawasan itu terutama bagi acara sukan air seperti kenu dan berkayak.

“Ini boleh menjejaskan sektor pelancongan di kawasan tersebut terutama di masjid terapung dan lagun Kuala Ibai,” katanya.

Bagi mengatasai masalah itu, kerajaan negeri melalui JPS telah mengemukakan permohonan kepada kerajaan pusat bagi cadangan pemuliharaan muara sungai Ibai dengan kos sebanyak RM30 juta namun ia tidak diluluskan.

Sebagai langkah jangka pendek katanya, kerajaan negeri telah meluluskan permohonan sebuah syarikat swasta menjalankan aktiviti mengorek, mendalam dan mengeluarkan pasir dari muara berkenaan secara percuma.

“Kelulusan ini telah berakhir pada 31 Disember lalu,” katanya.