Tiada lagi keletah aktif Alhakim

Sansudin menyampaikan sumbangan kepada Wan Muhammad Alhakim.
Sansudin menyampaikan sumbangan kepada Wan Muhammad Alhakim.
A
A
A

KEMAMAN - Jika dahulu Wan Muhammad Alhakim Wan Zawawi, 11, begitu ligat dan aktif bermain bersama rakan sebayanya namun siapa sangka ia berubah sekelip mata sejak beberapa bulan yang lalu.

Disahkan menghadapi masalah jantung, kanak-kanak istimewa (kategori masalah pembelajaran) itu kini hanya mampu melihat keletah rakannya kerana dia kini tidak boleh bergerak aktif akibat penyakit dihadapinya.

Ibunya, Siti Hajar Sudin, 37, berkata, disebabkan penyakit itu, anaknya tidak dapat ke sekolah kerana mudah penat dan kini menunggu masa untuk menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

"Dia mula jatuh sakit pada Oktober tahun lepas bermula dengan demam dan kesukaran untuk tidur. Setelah beberapa kali dirujuk ke klinik dan hospital, dia disahkan menghadapi masalah jantung dan pernah menerima rawatan di hospital selama sebulan.

"Keadaan dia sekarang sudah semakin baik berbanding dulu tapi tidak boleh lasak dan bermain sebagaimana sebelum ini," katanya yang bekerja di kedai makan.

Siti Hajar berkata, suaminya iaitu Wan Mohd Zawawi Wan Hussin, 40, juga tidak berapa sihat dan hanya bekerja sebagai buruh.

Sementara itu, nasib yang menimpa Wan Muhammad Alhakim mendapat perhatian Kelab Kebajikan Keluarga Anak Istimewa Terengganu (KAIS).

Yang Dipertua KAIS Mazlan Mohamad, Setiausaha Kehormat KAIS Ngah Bidin, Pegawai Pendidikan Daerah Kemaman Sansudin Abd Ghani, guru dan wakil yang terlibat membuat kunjungan dan menyampaikan bantuan kepada keluarga itu di Kampung Anak Teruna, Kijal.

Artikel Berkaitan:

Mazlan berkata, menjadi dasar kelab itu untuk membantu golongan istimewa, menghidap penyakit kronik dan yang kurang berkemampuan.

"Ahli kelab ini sebolehnya ingin membantu mengikut kemampuan kami kerana kami yakin ramai sebenarnya yang memerlukan bantuan.

"Kita harapkan bantuan ini akan meringankan sedikit beban keluarga ini dan menghadirkan senyuman kepada Wan Muhammad Alhakim," katanya.

Sementara itu, mereka yang ingin membantu keluarga ini boleh menyumbang ke akaun CIMB Bank Siti Hajar Sudin, 7610923963.