Haaland terus cipta sensasi

Haaland -Foto EPA
Haaland -Foto EPA
A
A
A

PEMAIN muda Borussia Dortmund, Erling Haaland terus mencipta sensasi selepas meledak dua gol untuk membantu pasukannya menewaskan Paris Saint Germain (PSG) 2-1 dalam perlawanan pertama pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara awal pagi tadi.

Dua gol tersebut menyaksikan Haaland telah menjaringan 10 gol dalam saingan Liga Juara-Juara musim ini sekali gus berkongsi kedudukan sebagai penjaring terbanyak saingan terbesar Eropah itu bersama penyerang Bayern Munich, Robert Lewandowski.

Pemain berusia 19 tahun itu bagaimanapun mengakui apa yang dipamerkannya ketika ini belum cukup dan yakin mampu beraksi lebih baik dalam perlawanan akan datang.

"Saya gembira dengan anugerah pemain terbaik perlawanan ini, tetapi saya rasa masih boleh melakukan yang lebih bagus.

"Saya perlu bermain dengan lebih baik di peringkat ini dan sudah tentu kerja keras serta kesungguhan akan menjadikan saya seorang pemain yang lebih bagus," katanya.

Dalam perlawanan di Stadium Signal Iduna Park itu, Haaland membuka tirai jaringan pada minit ke-69 sebelum bintang PSG, Neymar menyamakan kedudukan enam minit kemudian.

Haaland yang berada pada prestasi terbaik tidak menghampakan puluhan ribu penyokong tuan rumah dengan gol kedua yang juga gol kemenangan Dortmund pada minit ke-77 sekali gus membawa kelebihan satu gol ketika bertandang ke Le Parc des Princes 12 Mac.

Dalam pada itu, pemain kelahiran Norway itu menyifatkan perjalanan Dortmund masih berliku walaupun membawa bekalan satu gol dalam perlawanan timbal balik nanti.

Artikel Berkaitan:

"Keputusan ini masih berbahaya kerana PSG adalah sebuah pasukan yang kuat dan masih boleh menewaskan kami," katanya.