Penjual rokok seludup didenda RM100,000

Tertuduh, Mazelang didenda RM100,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Berang hari ini selepas mengaku salah memiliki tujuh jenama berbeza rokok seludup.
Tertuduh, Mazelang didenda RM100,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Berang hari ini selepas mengaku salah memiliki tujuh jenama berbeza rokok seludup.
A
A
A

HULU TERENGGANU - Seorang peniaga kedai runcit didenda RM100,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Berang hari ini atas tuduhan memiliki pelbagai jenama rokok seludup bernilai RM1,711.20 pada Februari tahun lalu.

Tertuduh, Mazelang W Khalid, 44, turut berdepan hukuman penjara selama tempoh enam bulan sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh sebaik lelaki itu mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Tertuduh juga diperintahkan membayar cukai berjumlah RM3,648 kepada Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di bawah Peruntukan Pembayaran Cukai mengikut Seksyen 119A(1) Akta Kastam 1967.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memiliki barangan larangan import yang ditaksirkan bernilai RM1,711.20 daripada tujuh jenama berbeza di sebuah rumah di Jalan Felda Mengkawang, Kampung Bukit Mengawan, Ajil, di sini, pada jam 4 petang, 25 Februari 2019.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan dihukum di bawah Seksyen 135(1)(v)(aa) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang 10 ganda nilai atau RM100,000 (yang mana lebih tinggi) sehingga tidak lebih daripada 20 ganda nilai suapan atau RM500,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, sepasukan anggota JKDM Kuala Terengganu menyerbu rumah tertuduh dan hasil pemeriksaan awal menemukan sejumlah rokok pelbagai jenama disyaki belum lulus Kastam di dalam sebuah bilik sebelum dia ditahan bagi pemeriksaan lanjut.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa JKDM Terengganu memohon hukuman berat dikenakan untuk memberi pengajaran kepada tertuduh supaya tidak mengulangi kesalahan sama.