Kebakaran libat resort, rumah penduduk di Pulau Mabul

No Image Caption
A
A
A

SEMPORNA - Sebahagian kawasan membabitkan lapan bilik penginapan, 10 rumah pekerja di Uncle Chang's Sipadan Mabul Dive Logde, Pulau Mabul dekat sini, musnah dalam kebakaran petang semalam.

Dalam kejadian sekitar 5.35 petang itu turut memusnahkan kedai alat menyelam, restoran, bar, genset, bilik kompresor, serta sebuah rumah kampung berhampiran.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sabah dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai perkara itu pada 5.40 petang, dan susulan itu 11 anggota daripada Balai Bomba Atas Air Semporna, yang diketuai Kadir Halalan menaiki bot Kevelar dan bergerak ke lokasi.

Bagaimanapun, pasukan bomba berdepan kesukaran untuk sampai ke lokasi kejadian ekoran keadaan cuaca berangin dan laut bergelora, sebelum terpaksa berpatah balik ke jeti, kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, PGO Sabah turut menghubungi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) bagi mendapatkan bantuan aset laut yang bersesuaian, untuk membawa pasukan bomba ke lokasi namun faktor keadaan angin kuat serta laut bergelora juga, menyebabkan aset APMM dan TLDM tidak dapat digerakkan untuk sampai ke lokasi kejadian.

"Kebakaran dipercayai bermula daripada sebuah rumah pekerja, yang seterusnya merebak ke tempat lain, dan kerja-kerja pemadaman dilakukan oleh pekerja resort dan penduduk kampung dengan menggunakan pam air diesel serta alat pemadam api, selain terpaksa memutuskan jambatan resort untuk mengelakkan api terus merebak," tambah kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut menurut pengurus resort berkenaan, tiada laporan kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan berlaku dalam kes berkenaan. -Bernama

Artikel Berkaitan: