Galeri Inovasi Padi tarikan baharu Kuala Selangor

Haslina (kiri) pada Majlis Perasmian Galeri Inovasi Padi Taman Agroteknologi MARDI Tanjong Karang di sini hari ini.
Haslina (kiri) pada Majlis Perasmian Galeri Inovasi Padi Taman Agroteknologi MARDI Tanjong Karang di sini hari ini.
A
A
A

TANJONG KARANG - Penubuhan Galeri Inovasi Padi yang diusahakan Institut Penyelidikan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mampu menjadi salah satu pusat tarikan pelancong di daerah Kuala Selangor.

Timbalan Ketua Setiausaha Dasar Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Haslina Abdul Hamid berkata, galeri yang menempatkan maklumat mengenai sejarah industri padi itu bakal merancakkan pertumbuhan ekonomi penduduk setempat.

Malah, katanya, pembangunan galeri itu sekali gus membantu industri agropelancongan terutama pengusaha inap desa dan industri kecil dan sederhana (IKS) di kawasan sekitarnya menjana pendapatan.

"Misalnya pengusaha inap desa akan menerima tempahan lebih banyak dan usahawan produk industri asas tani boleh mendapat pulangan lumayan.

"Selain itu, jualan hasil pertanian meningkat dan menggalakkan inisiatif menaik taraf kemudahan serta infrastruktur sedia ada," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Galeri Inovasi Padi Taman Agroteknologi MARDI Tanjong Karang di sini semalam.

Haslina berkata, penubuhan galeri itu juga merupakan usaha berterusan MARDI bagi mendekati pesawah selain memperkenal dan memindahkan teknologi berkaitan padi di Tanjong Karang.

Artikel Berkaitan:

Haslina (berdiri, tiga dari kanan) bergambar bersama wakil MARDI dan peserta rezeki tani Selangor 2019.
Haslina (berdiri, tiga dari kanan) bergambar bersama wakil MARDI dan peserta rezeki tani Selangor 2019.

Katanya, usaha pembangunan galeri yang telah bermula sejak tahun 2011 itu mempunyai elemen teknologi, inovasi, pemuliharaan, pendidikan dan rekreasi.

"Pengunjung berpeluang merasai pengalaman di sawah padi berunsurkan pendidikan dan rekreasi yang menghiburkan seperti menanam padi menangkap ikan dan sebagainya.

"Ini membolehkan pengunjung terutama anak-anak muda serta mereka yang tinggal di kawasan bandar merasai sendiri perit jerih seorang pesawah dalam menghasilkan beras," katanya.

Ujarnya, sehingga kini seramai 1, 462 pengunjung melawat galeri terbabit yang dibuka kepada pengunjung pada 27 Mac tahun lalu.

"Galeri ini juga menjadi salah satu kaedah kami menghargai pesawah yang boleh kita angkat sebagai wira negara sebagai benteng jaminan keselamatan bekalan makanan negara," katanya.

Menurut beliau, sebanyak lima galeri agroteknologi dibangunkan MARDI termasuk galeri inovasi padi di Tanjong Karang.

"Sebelum ini kita ada empat galeri iaitu di MARDI Langkawi (buah-buahan tropika), MARDI Cameron Highlands (tanaman tanah tinggi) Kuala Kangsar (durian) dan Cherating (agropelancongan).

Haslina (depan, dua dari kanan) melawat galeri padi selepas Majlis Perasmian Galeri Inovasi Padi Taman Agroteknologi MARDI Tanjong Karang.
Haslina (depan, dua dari kanan) melawat galeri padi selepas Majlis Perasmian Galeri Inovasi Padi Taman Agroteknologi MARDI Tanjong Karang.