X

Kindly register in order to view this article
!

'Terima kasih jaga kami dengan baik'

Sebahagian kakitangan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dan kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) lengkap berpakaian Peralatan Perlindungan Peribadi (Personal Protective Equipment) (PPE) membaca doa sebelum bergerak memasuki zon merah untuk menghantar makanan kepada pesakit di bawah pengawasan (patient under surveillance) ketika tinjauan khas di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) yang menjadi Pusat Pemantauan. - Foto Bernama
A
A

NILAI - Kumpulan yang menjalani kuarantin selama 14 hari di pusat pemantauan di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) dekat sini berpuas hati dengan layanan baik yang diberikan petugas yang terlibat.

Irwan Rustang, 36, seorang kakitangan sebuah syarikat perkapalan berkata, beliau bersyukur kerana layanan yang diterima sangat memuaskan ketika menjalani kuarantin setelah dibawa pulang dari Wuhan, China pada 4 Februari lepas menerusi misi bantuan kemanusiaan kerajaan Malaysia susulan wabak koronavirus (Covid-19) di negara itu.

Beliau turut menyampaikan penghargaan terhadap segala keperluan yang disediakan termasuk dalam soal penyediaan makan minum empat kali sehari iaitu sarapan, makan tengah hari, 'tea break' dan makan malam, di samping keperluan lain seperti bekalan susu, lampin pakai buang untuk anak dan juga pakaian.

"Semasa tempoh kuarantin, saya bersama keluarga memang tinggal di dalam bilik dan akan keluar sekiranya hendak ke bilik mencuci pakaian di sini. Saya berterima kasih kepada pihak pengurusan kerana menjaga kami dan menguruskan keperluan kami dengan baik," katanya.

Beliau adalah antara 107 individu merangkumi rakyat Malaysia dan ahli keluarga mereka yang dibawa pulang dengan penerbangan khas dari Wuhan pada 4 Februari lepas yang hari ini dibenarkan untuk meninggalkan AKEPT selepas tamat tempoh kuarantin dan disahkan bebas daripada jangkitan Covid-19.

Kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan persediaan peralatan untuk pemeriksaan kesihatan kepada pesakit di bawah pengawasan (patient under surveillance) ketika tinjauan khas di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) yang menjadi Pusat Pemantauan.- Foto Bernama
Kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan persediaan peralatan untuk pemeriksaan kesihatan kepada pesakit di bawah pengawasan (patient under surveillance) ketika tinjauan khas di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) yang menjadi Pusat Pemantauan.- Foto Bernama

Seorang lagi rakyat Malaysia yang berasal dari Kuala Lumpur, Ivy Sim, 40, turut melahirkan perasaan syukur kerana dapat kembali menjalani kehidupan normal setelah dibenar meninggalkan pusat pemantauan itu.

"Sepanjang proses kuarantin di sini, saya masih boleh berkomunikasi dengan keluarga menggunakan telefon. Kami dapat saling berhubungan, tapi mereka tidak boleh datang ke sini. Sepanjang berada di sini, layanan yang diberi sangat baik dan kami berterima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana cekap dan bagus dalam soal ini," katanya.

Berkongsi pandangan serupa, seorang ibu yang hanya mahu dikenali sebagai Wu, 20, berkata, petugas di pusat pemantauan itu sangat membantu sepanjang tempoh kuarantin.

"Saya dikuarantin bersama dengan bayi lelaki berumur dua bulan dan sering meminta beberapa barang untuk mereka, tapi petugas di pusat itu amat mengambil berat soal keperluan kami, sering memberikan kami lebih daripada apa yang diperlukan seperti lampin bayi, pakaian dan sebagainya,” katanya.

Saya amat berpuas hati dengan layanan yang diterima, dan saya rasa mereka yang bukan rakyat Malaysia yang dikuarantin di sini juga mempunyai pandangan yang serupa,” tambahnya.

Jabatan dan agensi kerajaan yang terlibat sepanjang operasi di pusat pemantauan itu termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). - Bernama