Vell Paari tentang permohonan intervensi wanita dakwa isteri Samy Vellu

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Setiausaha Agung MIC, Datuk Seri S Vell Paari akan menentang permohonan seorang wanita yang mendakwa isteri kepada bekas Menteri Kerja Raya, Tun S Samy Vellu untuk menjadi pencelah dalam kes saman Vell Paari terhadap bapanya.

Bercakap kepada pemberita, peguam RSN Rayer yang mewakili wanita itu, Meeriam Rosaline Edward Paul, 60, berkata, plaintif (Vell Paari) menentang keras permohonan Meeriam Rosaline kerana mendakwa wanita itu tidak mempunyai lokus standi dan tiada hak untuk mencelah dalam saman itu.

Rayer berkata, beliau akan membuat hujahan berhubung perkara itu apabila kes itu diteruskan pada 20 Mac.

Ditanya mengenai kesihatan Samy Vellu, beliau berkata, bekas Menteri Kerja Raya itu sihat kerana beliau hadir di Batu Caves sempena perayaan Thaipusam minggu lepas.

“Sebenarnya, beliau berupaya menguruskan dirinya sendiri. Jadi, sekarang terpulang kepada plaintif untuk mematahkan hujahan yang kami bentangkan,” katanya kepada pemberita selepas kes itu didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Sofian Abdul Razak di dalam kamarnya.

Seorang lagi peguam, S Ramesh yang mewakili Meeriam Rosaline berkata, plaintif akan meneruskan hujahannya pada 3 petang 20 Mac.

“Sebenarnya kami telah meneruskan permohonan kami sebagai pencelah. Kami telah berhujah panjang di hadapan hakim dan disebabkan kekangan masa perkara itu ditangguhkan ke tarikh lain bagi membolehkan plaintif meneruskan hujahannya.

“Jadi selepas hakim selesai mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak, mahkamah akan memutuskan sama ada anak guam saya berhak untuk campur tangan dalam perkara ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Meeriam Rosaline berkata, beliau berharap dapat bertemu Samy Vellu tidak lama lagi dan akan bersama semula.

Vell Paari memfailkan saman terhadap Samy Vellu pada 2 Disember tahun lepas memohon perintah mahkamah supaya siasatan dilakukan bagi menentukan keupayaan mental Samy Vellu dan sama ada bekas Presiden MIC dan bekas Menteri Kerja Raya itu berupaya untuk menguruskan diri serta hal ehwalnya.

Dalam saman itu, Vell Paari memohon perintah bahawa suatu tarikh, masa dan tempat ditetapkan untuk siasatan diadakan di bawah Seksyen 52 Akta Kesihatan Mental 2001 ke atas bapanya bagi mengetahui jangka masa bapanya mengalami kecelaruan mental.

Beliau juga memohon perintah mahkamah untuk mengetahui sama ada bapanya berupaya memberi arahan kepada peguam supaya bertindak bagi pihaknya (Samy Vellu) selain untuk menentukan jenis harta yang dimiliki oleh bapanya.

Bekas Setiausaha Agung MIC itu turut memohon supaya Consultant Neuropsychiatrist dan Ketua Neurobehavioral Medicine Services dari Penang Adventist Hospital, Dr Prem Kumar Chandrasekaran atau pakar kesihatan mental lain diberikan akses untuk memeriksa bapanya secara peribadi dan menyediakan laporan tentang keupayaan mental defendan.

Katanya, jika defendan didapati mengalami kecelaruan mental dan tidak berupaya menguruskan dirinya serta hal ehwalnya akibat masalah itu, beliau memohon supaya beberapa individu termasuk dirinya (plaintif) dan peguam Datuk C. Vijaya Kumar dilantik oleh mahkamah sebagai ahli jawatankuasa untuk menjaga dan menguruskan hal ehwal estet defendan.

Sekiranya mahkamah membenarkan kesemua individu itu dilantik sebagai ahli jawatankuasa, plaintif turut memohon supaya mahkamah menentukan kuasa ahli jawatankuasa tersebut, membuat peruntukan bagi kos dan perbelanjaan jawatankuasa serta membuat peruntukan bagi saraan jawatankuasa tersebut.

Vell Paari juga memohon perintah supaya beliau dilantik sebagai wakil litigasi defendan dalam mana-mana prosiding undang-undang membabitkan bapanya, harta atau kepentingannya.

Sementara itu, Vell Paari menerusi afidavit sokongannya berkata ibunya, Toh Puan R Indrani, 79, dan adik perempuannya, S Mangayerkarasi, 56, akan memberi sokongan terhadap saman itu dan akan mengesahkan perkara tersebut dalam afidavit sokongan mereka.

Plaintif berkata, konsultan psikiatri dari Victoria, Australia, Prof David Ames telah mengenal pasti bapanya mengalami demensia pada 2017 dan telah diberikan ubat untuk merawat kesihatannya.

Katanya, konsultan psikiatri dari Pantai Hospital, Dr Bharathi Vengadasalam turut menyediakan laporan bahawa Samy Vellu mengalami gangguan neurokognitif major dan tidak berupaya menguruskan kewangan dan estet, menguruskan ubat serta membuat keputusan.

Beliau berkata, hasil penemuan kedua-dua konsultan itu mendapati bapanya mengalami kecelaruan mental dan tidak memiliki keupayaan fizikal dan mental menguruskan dirinya dan hal ehwalnya.

Vell Paari berkata, sejak 2017, beliau telah membantu bapanya untuk menguruskan hal ehwal dan estetnya dan telah menggunakan dananya sendiri bagi tujuan itu berikutan bapanya tidak dapat mengakses dana dalam akaun perbankan atas faktor kesihatan. - Bernama