Lagi serangan tembakan di Thailand

Kejadian serangan tembakan itu berlaku di Century The Movie Plaza di Bangkok hari ini. - Foto Disaster_TH/Twitter
Kejadian serangan tembakan itu berlaku di Century The Movie Plaza di Bangkok hari ini. - Foto Disaster_TH/Twitter
A
A
A

BANGKOK - Thailand kembali digemparkan dengan insiden serangan tembakan selepas seorang lelaki didakwa menembak mati bekas isterinya dan menyebabkan seorang lagi cedera di pusat beli-belah di Bangkok hari ini.

Kejadian itu berlaku kira-kira 10 hari selepas serangan tembakan dilancarkan seorang anggota tentera di pusat beli-belah Terminal 21 di bandar timur laut negara itu yang meragut 29 nyawa di Nakhon Ratchasima.

Pihak berkuasa mengesahkan suspek kemudiannya melarikan diri dari Century The Movie Plaza berhampiran Monumen Kemenangan di ibu negara.

"Kami telah mengenal pasti identiti lelaki itu dan kini sedang giat memburunya," kata jurucakap polis, Kolonel Kissana Pattanacharoen.

Menurutnya, lelaki bersenjata itu didakwa memasuki tempat kerja bekas isterinya di sebuah klinik kecantikan di premis terbabit sebelum menembak mangsa dan mencederakan seorang individu lain di tempat kejadian.

Sementara itu, seorang lagi pegawai polis, Bavornphob Sunthornraekha memaklumkan kejadian tersebut dipercayai berpunca daripada 'masalah peribadi' dan bukan kejadian susulan serangan tembakan di Nakhon Ratchasima.

Susulan kejadian itu, hanya kawasan di sekitar lokasi kejadian ditutup manakala pusat beli-belah sembilan tingkat yang terkenal dengan panggung wayang di tingkat paling atas terus beroperasi seperti biasa. - Agensi

ARTIKEL BERKAITAN: Tentera 'mengamuk' buat FB Live bunuh 12 orang

Artikel Berkaitan: