'Body shaming' lelaki naik motosikal, keluarga mahu saman netizen

Amaran Nor Azmida di akaun Facebooknya kepada sesiapa yang terus sebar gambar abangnya dengan kapsyen menghina.
Amaran Nor Azmida di akaun Facebooknya kepada sesiapa yang terus sebar gambar abangnya dengan kapsyen menghina.
A
A
A

SEREMBAN - Keluarga kepada seorang lelaki yang dipersenda netizen di media sosial kerana bentuk fizikalnya akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya ejekan itu berterusan.

Adik lelaki berkenaan, Nor Azmida Mohamad Nor, 30, berkata, tindakan itu akan diambil terhadap individu yang terus mempersenda fizikal abangnya, Noorazri, 39, seperti mana yang ditularkan di Facebook sejak Ahad lalu.

“Keluarga memang bercadang mahu ambil tindakan jika masih ada mana-mana individu yang berterusan ‘body shaming’ abang saya," katanya.

Menurut suri rumah tersebut, dia begitu kecewa apabila gambar abangnya sedang menunggang motosikal dengan membawa seorang kanak-kanak dimuat naik ke media sosial dengan kapsyen: ‘nak kesian dekat motor ke atau budak itu’.

"Pembonceng motosikal itu anak saya. Tak sangka pula ada yang ambil gambar dan sebarkan di Facebook dan WhatsApp dengan kenyataan mempersenda fizikal abang saya.

“Cuba jika ia berlaku kepada diri kamu sendiri atau ahli keluarga kamu? Kamu ingat ini kelakar ke? Saya sebagai adik betul-betul geram. Kami sekeluarga tidak main-main soal ini dan mahu memberi pengajaran kepada masyarakat supaya tidak sewenang-wenangnya berbuat demikian dengan mengambil tindakan (undang-undang)," katanya.

Tegas Nor Azmida, buat permulaan dia dan beberapa lagi ahli keluarga sudah menghantar mesej kepada sebahagian pemilik akaun Facebook yang berkongsi gambar abangnya itu supaya dipadam dengan segera.

"Mungkin bagi sesetengah orang ia hanya isu kecil, tetapi masyarakat perlu sedar bahawa budaya 'body shaming' boleh memberi kesan kepada emosi seseorang.

Artikel Berkaitan:

"Selepas gambar abang itu viral, saya tanya dia ok atau tak? Dia cakap dia ok saja, tapi saya nampak dia lebih banyak diam, mungkin dia tidak mahu luah apa yang dia rasa.

"Sebelum ini dia pun selalu rasa rendah diri pada diri sendiri. Bila jadi macam ini, saya risau ia beri tekanan emosi kepada abang," katanya kepada Sinar Harian.

Tambahnya, bukan sahaja individu bertubuh besar, tetapi mereka yang kurus atau rupa tidak cantik juga selalu menjadi mangsa 'body shaming' dan menjadi kebimbangan kerana ia boleh memberi tekanan apatah lagi jika gambar itu tular akibat dikongsi ramai netizen di media sosial.

"Nak ambil gambar itu tiada masalah, tapi kenapa pula disebarkan dengan kenyataan tidak sepatutnya seperti itu. Nampak sangat mahu mengejek fizikal abang saya.

"Kita yang tak rasa ini bolehlah kita cakap tiada masalah. Jadi, berfikir dahulu sebelum nak kongsi sesuatu di laman sosial," katanya.