LHDN kutip RM7.877 bilion

Sabin Samitah
Sabin Samitah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berjaya mengutip cukai tambahan dan penalti sebanyak RM7.877 bilion menerusi Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) sepanjang tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata, seramai 286,428 pembayar cukai tampil membuat pengakuan sukarela dan agensi itu turut berjaya menarik seramai 11,176 pembayar cukai baharu ke dalam jaringan cukai LHDN.

"LHDN juga telah berjaya mengutip jumlah cukai langsung tertinggi pada tahun 2019 sebanyak RM145.110 bilion iaitu peningkatan sebanyak RM 8.076 bilion atau 5.89 peratus berbanding rekod kutipan cukai langsung pada tahun 2018.

"Oleh itu, dengan sasaran baharu kutipan cukai berjumlah RM154.676 bilion yang ditetapkan oleh kerajaan pada tahun ini, LHDN perlu sentiasa berada di hadapan bagi memastikan kesedaran cukai dapat ditingkatkan agar hasil negara kekal mampan dan seterusnya menjamin kesejahteraan setiap rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Apresiasi Media yang turut dihadiri kira-kira 200 orang pengamal media terdiri daripada ketua-ketua agensi dan wartawan termasuk media dalam talian di sini semalam.

Majlis itu turut dihadiri oleh barisan pengurusan tertinggi LHDN dan pegawai-pegawai kanan bagi merapatkan hubungan agensi berkenaan dengan pengamal media menerusi sesi perkongsian pandangan dan pendapat.

Sementara itu, Sabin berkata, inisiatif itu diadakan sebagai tanda penghargaan dan terima kasih atas sokongan pihak media khususnya sepanjang tahun 2019 melalui laporan berita serta publisiti yang diterbitkan melibatkan peranan LHDN.

Menurutnya, sepanjang tahun lalu, sebanyak 12,746 laporan berkaitan LHDN telah dipaparkan oleh media melibatkan sebanyak 8,408 laporan media cetak, media elektronik (862) dan media online (3,476).

Artikel Berkaitan:

"Keseluruhan jumlah laporan ini menunjukkan bahawa penglibatan media amat penting dalam usaha untuk menyebarkan maklumat percukaian negara kepada rakyat dan pada masa yang sama, ia memberikan pendedahan dan pendidikan awal mengenai dasar serta polisi percukaian kepada orang ramai.

"Liputan media yang positif dan meluas dapat mengukuhkan jenama LHDN dan melalui publisiti yang berterusan daripada pihak media, setiap perkhidmatan yang ditawarkan lebih dikenali dan menjadi pilihan masyarakat.

"Proses libat urus dengan rakyat juga dapat dilaksanakan dengan jayanya menerusi mesej yang disampaikan melalui saluran media ini," kata beliau.