Amal Rukun Negara, kunci perpaduan rakyat: Waytha Moorthy

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Kementerian Perpaduan, Aldrina @ Mimi O.P Andu bergambar bersama 10 organisasi yang menyertai Pusat Pendamaian dan Perpaduan (CPU) pada Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia di Universiti UCSI Kampus Kuala Lumpur hari ini. Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Kementerian Perpaduan, Aldrina @ Mimi O.P Andu bergambar bersama 10 organisasi yang menyertai Pusat Pendamaian dan Perpaduan (CPU) pada Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia di Universiti UCSI Kampus Kuala Lumpur hari ini. Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini diminta memahami kepentingan Rukun Negara serta mengamalkan prinsipnya dalam kehidupan seharian.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial), Senator Waytha Moorthy Ponnusamy berkata, Rukun Negara perlu dijadikan kunci memperkukuhkan perpaduan melalui pengukuhan kepercayaan kepada agama.

Katanya, sehubungan itu penganjuran lebih banyak aktiviti bagi mempromosikan pemahaman antara agama mampu meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap sensitiviti setiap agama dan budaya.

"Ini akan membuatkan minda kita lebih terbuka, inklusif dan benar-benar memahami masyarakat.

"Ingatlah bahawa semua agama mengajar tentang kasih sayang, keamanan dan perpaduan," katanya dalam ucapan perasmian majlis sambutan Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia di Universiti UCSI Kampus Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Kementerian Perpaduan, Aldrina @ Mimi O P Andu.

Sebelum majlis perasmian itu, berlangsung forum dibarisi lapan panel yang mengulas topik bertajuk 'Kepentingan Kasih Sayang Kepada Masyarakat' mengikut ajaran agama masing-masing.

Bagi agama Islam diwakili Jawatankuasa Pusat Pertubuhan Ikram Malaysia, Zaid Kamaruddin manakala Presiden Penyelidikan Masyarakat Budha Malaysia, Datuk Ir Ang Choo Hong bagi Budha.

Artikel Berkaitan:

Panel lain terdiri daripada Presiden Persekutuan Kristian Malaysia, Julian Leow Beng Kim (Kristian), Presiden Hindu Sangam Malaysia, Datuk RS Mohan Shanmugam (Hindu) dan Presiden Majlis Gudwara Malaysia, Jagir Singh (Singh).

Turut sama, Presiden Persekutuan Persatuan Taoist Malaysia, Tan Hoe Chieow (Taoist ), Ahli Majlis Rohani Baha'i Malaysia, Vijaya Segaran Vadivello (Baha'i) dan Presiden Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia, Tok Batin Norya Abas (Adat).

Forum dikendalikan Pengerusi Bersama Perikatan Masyarakat Sivil Malaysia untuk Matlamat Pembangunan Mampan, Datuk Dr Denison Jayasooria sebagai moderator.