Pecah rumah: Dua lelaki ditahan

A
A

JOHOR BAHRU - Polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan berhubung satu kejadian pecah rumah yang berlaku di Taman Nusa Bestari 2, di sini, tengah malam semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata, kedua suspek berusia 26 dan 23 tahun itu ditahan di sebuah hotel di kawasan Tampoi beberapa jam selepas kejadian.

Katanya, tangkapan dilakukan kira-kira jam 12.01 tengah malam itu telah disertai pegawai dan anggota Balai Polis Tampoi hasil daripada maklumat rondaan cegah jenayah yang dilakukan.

"Kedua-dua suspek ini berjaya dikesan di sebuah hotel di Taman Munsyi Ibrahim, Tampoi.

"Pemeriksaan lanjut dalam bilik hotel berkenaan kemudiannya menemui peralatan pecah rumah dan barangan mencurigakan.

"Siasatan mendapati barangan ditemui itu adalah hasil pecah rumah yang dilakukan suspek di sebuah rumah di Jalan Mewah Ria 2/12 Taman Bukit Mewah, Tampoi," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Mohd Taib berkata, polis turut menemui sepucuk pistol tiruan dan cota besi dipercayai digunakan dalam kegiatan pecah rumah berkenaan.

Mengulas mengenai kejadian pecah rumah di Taman Bukit Mewah itu, beliau memberitahu, kedua-dua suspek disyaki memecah masuk kediaman itu kira-kira jam 6.10 pagi.

"Berdasarkan keterangan yang diberikan pengadu iaitu anak kepada tuan rumah, rumah tersebut ketika itu kosong kerana ibu dan adiknya pergi bercuti di Thailand.

"Selain daripada kehilangan harta benda, suspek berkenaan juga dilaporkan nekad melarikan kenderaan milik mangsa yang ketika itu berada di rumah," katanya.

Mohd Taib berkata, pihaknya percaya tangkapan kedua-dua suspek itu mampu menyelesaikan beberapa kejadian pecah rumah dan curi di sekitar Johor Bahru Utara dan Tampoi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457, Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960.