Dua lelaki ditahan bersama dadah hampir RM300,000

Zulkiflee (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas dalam serbuan pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang di sini hari ini.
Zulkiflee (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas dalam serbuan pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang di sini hari ini.
A
A
A

ALOR GAJAH - Polis menahan dua lelaki dipercayai pengedar dadah bersama rampasan dadah bernilai hampir RM300,000 dalam serbuan di sebuah rumah di Ayer Limau, Masjid Tanah di sini kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Melaka, Superintendan Zulkiflee Rashid berkata, kedua-dua suspek masing-masing berusia 36 dan 50 tahun ditahan kira-kira jam 2 petang di rumah salah seorang daripadanya.

Menurutnya, pemeriksaan dalam rumah menemui dadah jenis syabu seberat 5.55 kilogram (kg) dan 460 pil dadah jenis ectasy yang disorokkan di ruang tamu dan di dalam sebuah bilik.

"Soal siasat mendapati mereka terlibat dalam aktiviti pengedaran sejak sebulan lalu.

"Kejayaan ini hasil risikan dan siasatan kita terhadap aktiviti pengedaran dadah yang didalangi kedua-dua warga tempatan itu," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang di sini hari ini.

Sebahagian dadah hampir RM300,000 yang dirampas dalam sebuah rumah di Ayer Limau, Masjid Tanah di sini kelmarin.
Sebahagian dadah hampir RM300,000 yang dirampas dalam sebuah rumah di Ayer Limau, Masjid Tanah di sini kelmarin.

Tambahnya, ujian saringan air kencing juga mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan nilai keseluruhan rampasan dadah dianggarkan bernilai RM291,000.

Artikel Berkaitan:

"Suspek berusia 36 tahun tidak mempunyai rekod jenayah lampau manakala suspek kedua memiliki lima rekod jenayah lampau membabitkan dadah.

"Selain itu polis turut merampas dua kereta jenis Proton Saga dan Perodua Kancil bernilai RM25,500 serta wang tunai berjumlah RM3,000,” katanya.

Kedua-dua suspek kini direman selama lima hari sehingga Jumaat untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.