X

Kindly register in order to view this article
!

Joko Widodo ucap takziah kepada keluarga Ashraf Sinclair

Jokowi
A
A

JAKARTA - Pemergian artis Ashraf Sinclair di usia 40 tahun akibat serangan jantung mengejutkan dan diratapi ramai peminat seni hiburan di Indonesia dan Malaysia.

Allahyarham Ashraf Sinclair atau nama sebenarnya Ashraf Daniel Mohamed Sinclair meninggal dunia pada jam 4.51 pagi waktu Indonesia barat di Rumah Sakit Metropolitan Medical Centre (MMC), di Kuningan, Jakarta.

Presiden Indonesia, Joko Widodo dan keluarga turut menzahirkan ucapan takziah dengan mengirimkan kalungan bunga (tradisi pengucapan takziah di Indonesia) ke rumah Allahyarham di Jalan Pejaten Barat IV, Pasar Minggu, Jakarta Selatan.

Jenazah Allhayarham yang juga suami kepada artis popular Indonesia, Bunga Citra Lestari, dibawa ke Pemakaman San Diego Hills, Karawang, kira-kira pukul 2.00 petang, untuk dikebumikan selepas Asar.

Rakan-rakan artis serta peminat, sebelum itu turut memberi penghormatan terakhir di kediaman pasangan yang dikurniakan seorang anak lelaki, Noah Sinclair, yang berusia sembilan tahun itu.

Ibu bapa kepada Allahyarham, Mohamed Anthony John Sinclair dan Khadijah Abdul Rahman turut tiba dari Malaysia di kediaman anak mereka itu pada kira-kira jam 1 tengah hari tadi.

Para artis serta teman-teman Allahyarham turut menyatakan menyatakan terkejut mereka kerana Allahyarham sebelum ini tidak menunjukkan tanda-tanda mengalami sebarang penyakit, sentiasa sihat dan aktif di akaun media sosialnya.

Rakan kepada pasangan itu, Maia Estianty berkata, Ashraf Sinclair secara tiba- tiba tidak sedarkan diri malam tadi sebelum dibawa isterinya ke Rumah Sakit MMC.

Pegawai-pegawai Kedutaan Malaysia di Jakarta, turut hadir menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham, yang pemergiannya turut mendapat liputan meluas media Indonesia, serta Malaysia.

Ashraf Sinclair yang lahir di London, England adalah artis popular Malaysia yang mengahwini Bunga Citra Lestari pada 2008 dan kemudian meneruskan kariernya di Indonesia.

Beliau popular menerusi lakonan dalam beberapa filem dan drama bersiri televisyen. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus