X

Kindly register in order to view this article
!

KKM rampas 434,742 peket Energy Candy

Sebanyak 160 premis pemborong, pengedar dan peruncit diperiksa di seluruh negara bagi memastikan tiada lagi produk Energy Candy dijual di pasaran. - Foto Facebook KKM
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan (KKM) menjalankan operasi di seluruh negara hari ini bagi memastikan produk ExtrAli Energy Candy, Extra Strong Energy Candy dan Mixed Fruit Candy tidak dijual di pasaran.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisyam Abdullah berkata, sebanyak 160 premis pemborong, pengedar dan peruncit diperiksa dan sejumlah 434,742 peket produk bernilai RM131,340.70 dirampas.

Menurutnya, arahan larangan penjualan juga telah dikeluarkan kepada peniaga atas talian di semua platform e-dagang.

"KKM ingin menegaskan sekali lagi kepada sesiapa yang masih menyimpan stok produk ini agar menghentikan pengedaran dan penjualan termasuk jualan atas talian.

"Tindakan boleh dikenakan di bawah Seksyen 13, Akta Makanan 1983. Jika disabitkan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, KKM mengesahkan produk ‘Energy Candy’ yang tular di laman sosial, baru-baru ini mengandungi racun berjadual tadalafil yang digunakan untuk pesakit mati pucuk.

ARTIKEL BERKAITAN: Produk ubat 'kuat' Energy Candy beracun, dilarang jual

Susulan daripada penularan produk berkenaan di laman sosial, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) diarah menjalankan pemantauan sebelum mengadakan operasi di seluruh negara.

Mengulas lanjut, beliau berkata, KKM sentiasa prihatin terhadap perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna.

"Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau hubungi KKM melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!