Pemimpin politik keluar kenyataan Islamofobia perlu minta maaf: Macsa

Lukman menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap mana-mana kenyataan pemimpin parti kerajaan dan pembangkang yang memainkan sentimen keagamaan dan perkauman.
Lukman menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap mana-mana kenyataan pemimpin parti kerajaan dan pembangkang yang memainkan sentimen keagamaan dan perkauman.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perikatan Masyarakat Sivil dalam Proses Semakan Sejagat (UPR) Malaysia (Macsa) mendesak beberapa menteri dan ahli politik menarik balik kenyataan berunsurkan Islamofobia dan meminta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia dengan segera.

Pengerusinya, Lukman Sheriff Alias berkata, pihaknya bimbang amalan mencetuskan kebencian kaum dan ketakutan terhadap agama lain yang dimainkan pemimpin politik akan mengundang mudarat terhadap keharmonian kaum dan agama di negara ini.

Menurutnya, pemimpin politik juga harus menghentikan serta-serta sebarang usaha mengeluarkan kenyataan atau ucapan berunsurkan Islamofobia pada masa hadapan kerana tindakan itu bertentangan dengan undang-undang hak asasi manusia di peringkat domestik dan antarabangsa.

"Sebarang ucapan atau kenyataan berunsurkan Islamofobia daripada pemimpin tertinggi kerajaan tidak sepatutnya berlaku di Malaysia, sebuah negara memiliki masyarakat majmuk namun memartabatkan agama Islam sebagai agama rasmi bersandarkan Perkara 3 (1) Persekutuan Perlembagaan.

"Di peringkat antarabangsa, ucapan kebencian termasuk Islamofobia adalah bertentangan dengan Perkara 7 Deklarasi Antarabangsa Hak Asasi Manusia. Bahkan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD) yang ironinya diperjuangkan parti DAP dianggotai Lim Guan Eng turut menolak sebarang penyebaran kebencian agama dan perkauman," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lukman Sheriff berkata, Macsa turut menggesa pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana kenyataan pemimpin parti kerajaan dan pembangkang yang memainkan sentimen keagamaan dan perkauman bagi mengelakkan berulangnya tragedi besar tidak diingini sekiranya tidak dibanteras segera.

Terbaru, beliau menyifatkan kenyataan dikeluarkan Guan Eng yang juga pemimpin utama DAP mengatakan kemungkinan satu pakatan kerajaan baharu didominasi orang Islam bakal menafikan hak rakyat negara ini yang bukan Islam, mampu mempengaruhi rakyat minoriti bukan Islam menentang orang Islam.

ARTIKEL BERKAITAN: Guan Eng dakwa Pakatan Nasional ancam Perlembagaan

Artikel Berkaitan:

"Kenyataan Guan Eng merujuk spekulasi pembentukan kerajaan pakatan baharu didominasi orang Melayu Islam sebenarnya memberi kesan besar kepada rakyat Malaysia beragama Islam dan berpotensi mewujudkan rasa benci, penolakan dan kemarahan terhadap rakyat Malaysia lain.

"Begitu juga dengan kenyataan Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau mengatakan persaingan antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk mendapatkan sokongan Pas akan membawa hala tuju Malaysia menjadi sebuah negara Islam yang menuntut agenda pelaksanaan hukum hudud.

"Kenyataan-kenyataan sedemikian sebenarnya tidak menghormati umat Islam dan seolah-olah cuba memanipulasi sentimen perkauman dan keagamaan dalam kalangan rakyat bukan Islam dalam naratif minda pemikiran mereka," katanya.

Lukman Sheriff berkata, rakyat negara ini boleh melihat bagaimana kenyataan berunsurkan Islamofobia kini semakin terbuka diperkatakan untuk meraih kelebihan politik tatkala konflik antara kaum dan agama semakin banyak berlaku dalam era Malaysia Baharu.

"Mereka sudah melampaui amalan politiking yang membawa perpecahan dan paling memudaratkan membawa rasa ketidakpercayaan mendalam dan prejudis dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.

"Macsa sekali lagi menekankan penggunaan ucapan dan kenyataan berbaur perkauman dan kebencian dengan menggunakan Islam sebagai 'kambing hitam', adalah bertentangan dengan undang-undang hak asasi manusia di peringkat domestik dan antarabangsa," katanya.